'Dalam sejarah dunia belum ada negara bankrap kerana bantu rakyat susah'






POSTED BY AMIR WRLR.

Pandangan andainya Presiden KEADILAN menjadi Perdana Menteri dan terlalu menumpukan kepada peruntukan membangunkan luar bandar, pendidikan serta kesihatan akan mengugat ekonomi negara, adalah mengarut.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program Minda Bicara Tokoh yang dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara, pagi tadi membidas pendapat seorang tokoh veteran Umno yang disifatkannya sebagai tidak tepat.

"Tak apa itu pandangan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah). Bagi saya (dia keluarkan) pandangan sebab dia fikir Anwar ini terlalu banyak bercakap soal bagi peruntukan pendidikan, kesihatan, rakyat miskin yang banyak.

"Saya jawab begini, belum ada dalam sejarah dunia dari zaman purbakala sampai sekarang di mana maharaja atau presiden atau Perdana Menteri yang menyebabkan negara bankrap kerana membantu rakyat.

"Dia (negara) bankrap sebab rasuah, bankrap sebab perang dan sebagainya," kata beliau menjawab soalan yang ditimbulkan oleh Prof Datuk Dr Mohd Agus Yusoff.

Ditanya mengenai agenda reformasi yang tidak berjaya dilaksanakan sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan memerintah, Anwar lebih senang menyatakan kekurangan kesungguhan pemerintahan PM Tun Mahathir menyebabkan rakyat tidak melihat perubahan yang dijanjikan dalam kempen PRU 14 terlaksana dalam bentuk polisi.

"Tun Mahathir ada jasa tetapi dia mewakili sosok lama, pemikiran lama. Dia ikut arus tetapi dia tak dapat hayati dan tanggapi keperluan merobah institusi kerana institusi itu berdiri kemudian dirosakkan oleh beliau juga. Kita kata kebebasan kehakiman, kebebasan media, sedikit sebanyak dia bagi tetapi yang merosakkan dahulu itu dia. Bagi dia itu susah (membalikkan keadaan)

"Saya ketika itu sebagai Ahli Parlimen biasa. Saya ada ruang. Kadang seminggu atau dua minggu sekali menemui beliau, saya kata kita dapat mandat untuk melaksanakan sesuatu untuk rakyat.

"Bagi saya urutan keutamaan seperti kesihatan, pendidikan dan rakyat miskin. Itu tak boleh kita tolak ansur. Malangnya kita tak dapat sampai ke situ. Kita serah Felda kepada Menteri Ekonomi (Azmin Ali), lingkup. Langsung tak ada program. Jadi kalau dia khianat kita boleh faham.

"Bukan nak salahkan Mahathir seorang biar pun dia nakhodanya. Jelas bahawa dia bertanggungjawab dalam hal-hal begini tetapi orang-orang dipercayainya juga yang mengkhianat amanah, itu jangan kita lupa," katanya.

Bagaimanapun mengenai isu Undi 18 Anwar mengecam rejim Perikatan Nasional yang disifatkannya sebagai takut kepada kuasa anak muda.

Menurut beliau, kerajaan PN tidak boleh menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di atas kegagalan pelaksanaan tersebut kerana jika SPR gagal maka barisan kepimpinannya boleh ditukar, bukannya menangguhkan pelaksanaan Undi 18 sehingga setahun.

"Tekad politik ada atau tidak? Kita dah luluskan setahun setengah yang lalu, setelah setahun setengah ada kekangan-kekangan ini.


"SPR itu kalau tak layak tukar. Bagi tempoh 3 bulan, 6 bulan, boleh lakukan. Kalau benar ada masalah teknikal mengenai DUN, beri cadangan sekarang. Apa yang menjadi masalah," katanya.

Mengenai alasan kerajaan PN bahawa Undi 18 memerlukan Undang-undang Tubuh Negeri dipinda, Anwar menganggapnya masalah kecil kerana ketua-ketua setiap parti politik telah pun bersetuju untuk mengundi meluluskan Undi 18 di Parlimen pada 2019 lalu, dan tentunya parti-parti yang memerintah di peringkat negeri juga akan boleh mengundi untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri.

 


No comments: