Bersatu ada strategi untuk pertahan kerusi Parlimen Larut, kata Hamzah

 


Bersatu ada strategi untuk pertahan kerusi Parlimen Larut, kata Hamzah

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah bersedia dengan strategi sekiranya terpaksa menghadapi UMNO Perak bagi mempertahankan kerusi Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata ia merupakan amalan biasa dalam politik untuk setiap parti bertanding meletakkan calon dan mengatur strategi masing-masing bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebagai amalan demokrasi, katanya, beliau tidak kisah jika UMNO mahu meletakkan calon di kerusi Parlimen Larut manakala Perikatan Nasional (PN) akan bekerjasama dengan Pas dan parti gabungannya untuk memilih calon berintegriti untuk diketengahkan pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun, Hamzah, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pihaknya sedia mengadakan perbincangan mengenai agihan kerusi dan calon sekiranya UMNO mahu bekerjasama bersama Bersatu dan Pas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Dewan Semai Bakti, Felda Ijok, Selama, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad yang sebelum ini berkata pihaknya tidak akan menyerahkan lima kerusi yang dimenanginya pada PRU14 untuk ditandingi parti lain pada kali ini.

Katanya, kesemua kerusi tersebut diperuntukkan kepada UMNO, namun wakil rakyatnya bertindak meninggalkan parti itu selepas PRU14 dan menyertai parti lain.

Lima kerusi berkenaan ialah tiga kawasan Parlimen iaitu Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang serta dua kawasan DUN iaitu Tualang Sekah dan Sungai Manik.

Pada PRU14, 2018, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas mengalahkan calon Pas, Abu Husin Mohamad dengan majoriti undi sebanyak 4,486.

Selepas itu, beliau keluar dari UMNO dan menyertai Bersatu pada 2019.

Pada majlis itu, Hamzah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi kemudahan logistik anggota Rela di Larut dan melancarkan buku Pelan Antirasuah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RACP) 2020-2025.