Rentas negeri Isnin-Khamis saja, Jumaat-Ahad bersyarat, kata polis

 

Pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis dan jamuan adalah dilarang.

PETALING JAYA: Polis mengesahkan pergerakan rentas negeri yang diluluskan hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis sahaja.

Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kebenaran hanya akan diberikan kepada mereka yang melakukan perjalanan untuk tujuan kerja, perubatan atau pendidikan, kecemasan dan kematian yang melibatkan anggota keluarga terdekat dan pasangan jarak jauh.

“Sekiranya permohonan pergerakan diluluskan, ia hanya dibenarkan pada Isnin hingga Khamis sahaja, manakala pergerakan pada hujung minggu iaitu Jumaat hingga Ahad tidak akan diluluskan.

“(Bagaimanapun) ini tidak termasuk bagi urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh,” katanya dalam kenyataan.

Acryl berkata, peraturan itu akan berterusan sehingga selepas Aidilfitri.

Katanya, mana-mana pihak yang ingkar arahan akan diambil tindakan tegas.

“Pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis dan jamuan adalah dilarang,” katanya.

Mengenai ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dan pasar malam, beliau berkata, semua ketua polis daerah dan pasukan pemantau pematuhan SOP akan digerakkan ke semua lokasi berkenaan.

“Sekiranya didapati SOP tidak dipatuhi, polis akan mengemukaman saranan kepada pihak berkuasa tempatan agar aktiviti perniagaan di kawasan-kawasan tersebut dihentikan.”


No comments: