ANTARA MANDAT PAU DAN TAKTIKAL ZAHID HAMIDI, YANG TAK DIFAHAMI, NAK TUNGGU APA LAGI?

 

Dua hari lalu Najib Razak meluahkan rasa tidak fahamnya mengapa BN masih lagi menyokong kerajaan PN, meskipun telah ditanggapi sebagai kerajaan yang gagal.

Kata Najib, beliau sebenarnya segan untuk memberi sebarang komen tentang tanda pagar #KerajaanGagal yang menjadi trending di laman sosial Twitter kerana BN sendiri masih lagi merupakan sebahagian daripada kerajaan PN yang dianggap gagal itu.

“Saya tidak faham mengapa UMNO dan BN masih mahu terkait dengan kerajaan yang gagal ini melainkan ada yang lebih mementingkan jawatan berbanding rakyat, negara dah parti,” tambah bekas Perdana Menteri itu melalui catatan di laman Facebooknya.

Apa yang boleh difahami, kenyataan Najib ini selain ditujukan kepada kluster menteri yang semua orang tahu masih mahu kekal menikmati habuan kedudukan, jawatan dan gaji lumayan sebagai anggota kabinet, meskipun UMNO kalah pada PRU14, ia juga terlihat disasarkan kepada Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan juga Pengerusi BN.

Kalau pun kluster menteri dilihat bersungguh mempertahankan Mahiaddin Md Yassin yang tentunya bersekali dengan tujuan mengekalkan kedudukan mereka sendiri sebagai menteri, tetapi mengapa Zahid Hamidi harus terikut arus yang sama?

Tidakkah beliau sedar, makin lama UMNO terkait dengan PN yang disepakati oleh majoriti rakyat sebagai kerajaan yang gagal, maka UMNO dan BN juga akan terbeban sama dengannya?

Bagaimana UMNO dan BN mahu meyakinkan rakyat untuk mengundi mereka, jika ketika rakyat sedang sengsara dan ingin keluar daripada kesengsaraan itu, namun UMNO yang boleh berbuat sesuatu untuk merubahnya, tetapi tidak ada naluri untuk melakukannya?


Apa yang Zahid Hamidi ingin tunggu lagi sebelum mahu membuat keputusan muktamad membawa UMNO keluar daripada kerajaan?

Bukankah mandat telah diperolehinya dalam PAU2020 baru-baru ini?

Dalam hal ini, jika benar audio yang bocor sebelum ini adalah rakaman tulen perbualan Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, diharapkan beliau benar-benar membuktikan kata-katanya bahawa beliau ada strategi taktikal selepas mandat akar umbi diperolehi melalui PAU2020 itu.

Sudah tentu strategi taktikal yang hanya dirinya saja yang tahu itu akan jadi betul-betul bermakna jika ia benar-benar dilaksanakan akhirnya, sebaliknya ia tidak akan memberi apa-apa makna kiranya kekal dalam simpanan fikirannya saja.

Cuma, yang semua orang faham, jika mahu melaksanakan apa-apa tindakan atau taktikal yang matlamat akhirnya adalah untuk memastikan UMNO dan BN kembali berkuasa, ia seharusnya dilakukan sekarang, bukan dua bulan lagi atau menunggu sehingga 1 Ogos baru berbuat demikian.

Dalam situasi ini, bukan saja Najib yang susah nak faham mengapa UMNO masih lagi mahu menyokong kerajaan yang gagal ini, majoriti rakyat yang mengharapkan perubahan juga turut tidak faham.

Ini kerana sekarang adalah waktu Mahiaddin tengah lemah, sangat dibenci, paling ditolak, kepimpinannya sedang berselirat dengan banyak masalah dan gabungan PN yang ditunjanginya belum begitu kukuh untuk berdepan pengundi dalam pilihanraya.

Sekaranglah masa paling sesuai untuk UMNO mengumumkan keluar daripada kerajaan PN, sama ada ke arah pembentukan kerajaan baharu atau bagi memaksa Mahiaddin mengadakan PRU15 dengan seberapa segera.

Selain itu, dengan membuat ketetapan rasmi meninggalkan kerajaan dengan segera juga, UMNO dengan sendirinya dapat membersihkan dirinya daripada anasir pemimpin dua kolam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut.

Mana-mana pemimpin yang enggan akur kepada ketetapan parti sudah boleh diambil tindakan disiplin atau akhirnya mereka sendiri memilih untuk bersama Mahiaddin dan Bersatu.

Khusus untuk pemimpin kluster menteri yang terzahir sebahagian mereka sekarang ini lebih sayang Bersatu daripada UMNO, inilah masanya untuk melihat ke mana hala tuju pilihan mereka.

Dengan demikian, tugas UMNO akan menjadi lebih mudah untuk menghadapi PRU15 dan mencipta kemenangan dengan menumbangkan Mahiaddin dan PN.

Lagi lama masa dibiarkan berlalu, ruang akan lebih tersedia untuk Mahiaddin meminimakan masalahnya atau dengan kuasa yang dimiliknya, beliau turut mampu menjadikan UMNO jadi lebih huru-hara.

Untuk itu, sementara diharapkan Zahid Hamidi benar-benar ada strategi taktikal dalam percaturannya sebagaimana disebutnya dalam perbualan telefon dengan Anwar itu, janganlah akhirnya ia kekal selama-lamanya dalam simpanan kotak fikirannya dan tidak berani dilaksanakan sampai ke sudah.

Jika itu yang berlaku dan Mahiaddin kemudian berjaya menyeret tarikh PRU sehingga ke tahun depan atau 2023, kelewatan Zahid Hamidi bertindak bukan saja bermakna beliau sengaja menempah laluan untuk disingkirkan daripada jawatan Presiden UMNO, malah pintu penjara juga lebih terbuka untuknya.


 (Shahbudindotcom 20/04/2021)