Pelajar matrik dikompaun: Pemuda AMANAH sedia lawan KKM di mahkamah!

 Pelajar matrik dikompaun: Pemuda AMANAH sedia lawan KKM di mahkamah!

Kenyataan Media

Saya telah mendapat maklumat terperinci daripada sumber dalaman yang saya terima mengenai kejadian 6 orang pelajar matrikulasi Gopeng yang telah dikompaun sebanyak RM1,500 seorang oleh pihak KKM. Mereka dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka.

Enam orang pelajar tersebut telah dikompaun oleh pihak KKM ketika mereka datang ke matrikulasi itu baru-baru ini ekoran berlakunya insiden keracunan makanan di situ.

Menurut sumber dalaman yang saya terima, pihak pengurusan matrikulasi juga telah pada hari ini pergi ke Pejabat Kesihatan Daerah Kampar untuk menyelesaikan kes kompaun tersebut setelah kes tersebut viral di dalam media sosial.

Ini bukan kali pertama saya menerima rungutan seperti ini. Sejak kerajaan mengeluarkan arahan kompaun sebanyak RM10 ribu kepada pesalah kompaun, ramai yang menghubungi saya menceritakan rungutan mereka mengenai tindakan kerajaan ini. Namun, kes yang berlaku ke atas 6 orang pelajar ini, bagi saya, sangat serius dan keterlaluan.

Tanpa mempertikaikan kepentingan dan tanggungjawab untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak KKM, sepatutnya tindakan yang diambil mestilah dilaksanakan dengan penuh bijaksana dan bertanggungjawab.

Tindakan pihak KKM ini jelas tidak mencerminkan sikap bijaksana dan budibicara yang sepatutnya dilaksanakan oleh pihak mereka terhadap pelajar terbabit yang selayaknya mendapat kritikan daripada rakyat. Saya difahamkan pelajar terbabit sudah 4 bulan tinggal di matrikulasi tersebut dan tidak dibenarkan pulang ke rumah mereka kerana mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian. Saya rasa kita semua boleh memahami perasaan pelajar terbabit dalam keadaan ‘terkurung’ seperti itu.

Amat malang sekali, apabila kes-kes pelanggaran Covid-19 melibatkan golongan VIP, pihak berkuasa mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan terhadap mereka tetapi apabila ia melibatkan rakyat bawahan, begitu mudah dan cepat sekali mereka mengenakan tindakan terhadap mereka.

Justeru itu, saya mendesak pihak KKM supaya membatalkan kompaun yang telah dikeluarkan ke atas pelajar terbabit dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin. Dalam masa yang sama, saya sebagai wakil peguam Parti Amanah Negara (KANUN) Negeri Perak juga bersedia untuk menawarkan khidmat guaman kepada mereka seandainya isu tersebut gagal diselesaikan oleh pihak KKM dengan kadar segera.

MOHD FITRI ASMUNI
Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak
merangkap Pengerusi KANUN Pemuda AMANAH Nasional
20 April 2021