Dedah! Siapa kroni dapat permit import ayam?

 


Dedah! Siapa kroni dapat permit import ayam?


1. Pada hari yang sama KPDNHEP mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) semalam, Timbalan Menteri dilaporkan bakal mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menambah permit import (AP) ayam agar kadar pengeluaran ayam meningkat. Kita tertanya-tanya juga apa keperluan penambahan AP ayam setelah diumumkan SHMMP? Kalau pun ianya bersifat serampang dua mata dalam menyelesaikan masalah harga ayam yang melambung kini, tidakkah proses itu akan memakan masa ketika perayaan Aidilfitri berbaki 3 minggu lagi?

2. Jika diteliti daripada sudut prosedur dan proses, penambahan AP ayam sebenarnya memakan masa apatah lagi ketika kerajaan masih di peringkat memulakan perbincangan antara kementerian. Jika prosedur diikuti dengan betul, silap-silap hari bulan lepas raya baru ayam sampai. Seandainya menteri yang terlibat ‘berjaya’ mengetepikan prosedur yang ada dengan pemberian kuota AP berkenaan secara terus; timbul persoalan lebih kritikal, kroni mana pula yang akan dapat AP ayam melalui jalan pintas itu? Tidakkah situasi ini bakal menambah persepsi buruk yang telah sedia terpalit pada #KerajaanGagal?

3. Sewajarnya kerajaan daripada awal menumpukan usaha terhadap pengeluaran domestik. Berbincang dan merancang beberapa bulan sebelum agar bekalan barangan mentah mencukupi dengan kadar harga yang telah ditetapkan. Namun jika ini pun lambat atau tidak dibuat, bagaimana rakyat boleh percaya bahawa kerajaan akan telus dan tidak menyimpang dalam hal penambahan AP ayam ini? Nasihat kami, usahlah menangguk di air keruh dengan jalan pintas yang akhirnya menguntungkan kroni semata-mata. Itu akan lebih membuatkan rakyat meluat dan marah.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN)
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

20 April 2021 | 8 Ramadan 1442H





No comments: