Darurat gagal bendung Covid, Muhyiddin perlu letak jawatan - Hassan Karim

 


Darurat diisytihar pada awal Januari lalu dengan alasan khusus untuk memerangi wabak Covid 19. Namun setelah berlalu 3 bulan, bukan sahaja jumlah jangkitan Covid tidak menurun malah angka kematian pula yang meningkat.

Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, hari ini terbukti idea Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin memerangi Covid menggunakan proklamasi darurat telah pun gagal total.

Oleh itu, katanya, tidak sepatutnya beliau terus menjadi ketua kerjaaan dan mengekalkan polisi gagal itu lebih lama.

"Walaupun darurat diisytiharkan sejak Januari lalu dan Parlimen digantung tetapi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyidin tetap gagal melawan Covid. Walaupun belanjawan negara melebihi RM300 bilion telah diluluskan dan Pakej rangsangan Covid-19 lebih RM70 bilion telah disuntik, malangnya kerajaan pimpinan Muhyiddin tetap gagal melawan Covid.

"Amerika Syarikat yang berpenduduk melebihi 200 juta manusia telah melakukan vaksinasi melebihi 50% rakyat dewasanya. Malaysia setakat 18 April 2021 hanya baru melakukan suntikan vaksin ke atas 1,135,015 orang dari 32 juta penduduk, tak sampai 2%. Kenapa perlahan sangat program vaksinasi di Malaysia? Apa masalahnya?" tanya Hassan dalam satu kenyataan.

Menurut Hassan, tidak masuk akal menteri kerajaan PN begitu lemah dalam hal menjaga kesihatan rakyat kerana kerajaan melantik menteri dan timbalan menteri yang cukup ramai.

Katanya, seorang Menteri Kesihatan dibantu oleh dua orang timbalan. Di samping itu wujud Menteri Tugas-Tugas Khas. Kemudian ada Menteri Sains dan Tekonolgi, Ahli Parlimen Rembau yang mengetuai Jawatankuasa perolehan vaksin dan program vaksinasi.

"Tetapi kenapa perlahan sangat macam pergerakan siput babi proses vaksinasi di Malaysia? Duit ada, menteri ramai, tetapi kenapa terlalu sedikit rakyat mendapat suntikan vaksinasi setakat ini?

"Jadi dalam perang melawan Covid ini ternyata Kerajaan PN telah gagal. Kabinet Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin telah gagal.

"Muhyiddin adalah komander dalam perang melawan Covid yang setakat semalam, saya katakan bahawa korban kematian kerana Covid lebih 1,300 orang di Malaysia. Kita tidak mahu lebih ramai rakyat mati baru PM yang gagal ini mahu berhenti," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hassan lagi, Muhyiddin sebagai ketua kabinet Kerajaan PN perlu memikul tanggungjawab kematian rakyatnya sendiri. Statistik setakat 18 April 2012, seramai 1,378 orang telah mati akibat Covid-19 dan hal itu adalah angka kehilangan nyawa manusia bukan statistik semata-mata, yang perlu diinsafi kerajaan.

"Jumlah kes positif Covid-19 keseluruhannya setakat 18 April ialah 375,054. Kes baharu melebihi 2,195 orang. Angka-angka ini adalah manusia, rakyat kita, warganegara kita, bukannya data semata-mata.

"Bukan sahaja Menteri Kesihatan perlu bertanggungjawab tetapi keseluruhaan kabinet Kerajaan PN adalah bertanggungjawab. Tanggungjawab kolektif para menteri itu akhirnya perlu dipikul oleh Muhyiddin selaku PM. Tidakkah Muhyiddin menyatakan baru-baru ini bahawa Proklamasi Darurat bukan kerana tujuan lain tetapi hanya untuk memerangi Covid-19?

"Justeru itu, saya sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang (setelah melihat kegagalan polisi yang fatal) mendesak PM Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya sekarang," kata Hassan lagi.