Jabatan Kesihatan siasat aduan pelajar Kolej Matrikulasi Perak dikompaun RM1,500

 

Abd Razak Mohd Ali
Jabatan Kesihatan siasat aduan pelajar Kolej Matrikulasi Perak dikompaun RM1,500
DR NOOR HISHAM: Siasatan segera sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak. - Gambar fail
IPOH: Jabatan Kesihatan Perak sedang menyiasat aduan tular berhubung kompaun RM1,500 yang dikenakan terhadap pelajar Kolej Matrikulasi Perak atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan balas di Twitter pada lewat malam tadi
Menurutnya, siasatan segera sedang dijalankan oleh jabatan itu agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
Terima kasih atas aduan ini kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan perkara ini akan diambil tindakan secepat mungkin. InsyaAllah,” tulisnya.
Beliau membalas ciapan seorang pemilik akaun bernama @NabilAmirul4 yang mendakwa pelajar Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng dikenakan kompaun tersebut oleh pegawai KKM yang datang ke kafe kolej berkenaan pada Isnin.
Ciapan itu meluahkan rasa kesal dengan kompaun yang dikenakan sedangkan elaun diterima mereka sebagai pelajar kolej itu bagi tempoh enam bulan hanya RM1,250.
Sejak semalam, tular di laman sosial terdapat pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka.
Pelbagai pihak mempertikaikan tindakan itu kerana pelajar-pelajar berkenaan dikatakan tinggal di kolej sejak lima bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar.
Difahamkan, pihak KKM datang ke kolej berkenaan pada Ahad atas sebab kes keracunan makanan di salah satu kafe di situ.
Bagaimanapun, mereka datang lagi pada Isnin walaupun kafe yang terlibat dengan keracunan makanan telah diberi notis untuk tutup selama dua hari.
Mereka dikatakan mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada beberapa pelajar yang tidak memakai pelitup muka atau meletakkannya di bawah dagu.
Terdapat juga video menunjukkan pelajar-pelajar matrikulasi itu disaman sehingga membuatkan warganet mempersoalkan tindakan tersebut.
Terbaru, Pemuda UMNO Perak menyatakan hasrat membantu pelajar Kolej Matrikulasi itu.
Pengerusi Sekretariat Undang-Undang dan Perlembagaannya, Faridzul Azlan Abd Shani berkata, pihaknya menawarkan khidmat guaman percuma dan akan mengambil tindakan yang diperlukan bagi pihak pelajar berkenaan.




No comments: