LUAHAN #KERAJAANGAGAL MUNGKIN TIDAK BERLAKU JIKA ANWAR DIBERI PELUANG TERAJUI NEGARA

 

Minggu lalu telah trending di laman twitter tanda pagar #KerajaanGagal sebagai luahan kekecewaan warga maya terhadap ketidakberhasilan kerajaan sejak lebih setahun lalu dalam menangani wabak Covid19.

Perkembangan tersebut hadir ketika kerajaan dilihat terus gagal memerangi penularan Covid19 dengan kes harian kekal empat digit sejak bermulanya gelombang ketiga September tahun lalu – gelombang jangkitan yang juga dikaitkan dengan PRN Sabah.

Peningkatan kes yang berterusan dilihat turut membangkitkan amarah rakyat kerana ia mungkin sekali lagi menyebabkan kerajaan menghalang orangramai pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

Tahun lalu tidak dapat balik kampung mungkin boleh difahami kerana PKP dikuatkuasakan dengan semua sektor kegiatan ditutup rapat, tetapi dua tahun berturut-turut disekat merentas negeri tentu saja suatu kesengsaraan yang sukar diterima.

Tidak mustahil ada yang menganggap ini suatu kezaliman bersiri daripada sebuah kerajaan yang sudahlah dibina melalui rangkaian pengkhianatan.

Malah peningkatan kes juga menjejaskan banyak sektor ekonomi dan aktiviti pelancongan dalam negara.

Ciapan bersama tanda pagar #KerajaanGagal itu turut ditujukan kepada Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin yang dilihat gagal mengurus negara dan memulihkan ekonomi setelah beliau secara terbuka mengakui bahawa kerajaan kini tidak lagi mempunyai banyak wang seperti dahulu.


Meskipun hampir seluruh dunia dilanda Covid19, tetapi jika dilihat beberapa negara yang berjaya mengawalnya seperti Korea Selatan, Jepun, Vietnam, Laos, Thailand dan sebagainya, di samping ekonomi di negara-negara tersebut tidak begitu teruk terjejas, adalah jelas bahawa kekurangan utama Malaysia ialah kita tidak memiliki pemimpin yang cukup berkemampuan.

Kiranya Anwar Ibrahim yang menerajui negara, dengan beberapa siri kebijaksanaannya yang terserlah, komunikasi yang mantap, kemampuan meyakinkan khalayak yang jauh lebih realistik dan punyai hubungan antarabangsa yang menyeluruh, kita mungkin tidak terperangkap sebegini teruk.

Tapi, apakan daya, meski sudah berusaha mengemukakan majoriti, di samping bala Covid19 digunakan sebagai sandaran, keadaan nampaknya tidak memihak kepada beliau.

Akibatnya, dengan kepimpinan Mahiaddin yang lemah dan tidak berdaya itu dibiarkan berterusan, semua kita diselubungi sengsara sehingga terpacul tanda pagar #KerajaanGagal sebagai luahan rasa kecewa rakyat semua bangsa.

Mahiaddin realitinya bukanlah pemimpin yang cukup berwibawa untuk mengurus negara, apa lagi di ketika krisis sedang melanda.

Berdasarkan pencapaian masa lalunya, baik dalam politik negara, mengutus kementerian atau negeri, hampir tidak ada kejayaan cemerlang pernah direkodkannya.

Bahkan, dalam mentadbir Johor selama dua penggal dan beberapa kementerian sejak sekian lama, yang tidak kurang terdedah ialah pelbagai skandal tanah dan berkaitan anugerah projek yang kedengaran kemudiannya.

Diburukkan lagi, dalam mentadbir negara, kecuali beberapa orang, kabinet besarnya juga lebih banyak dibarisi mereka yang tidak boleh bekerja.

Lebih daripada itu, dengan mencadangkan darurat yang difahami umum semata-mata untuk mengekalkan kuasanya, di sebalik kedudukannya kian terancam, Mahiaddin adalah Perdana Menteri terburuk dalam sejarah negara ini.

Beliau terlihat sanggup berbuat apa saja, tanpa memikirkan apa jadi kepada nasib rakyat, asalkan kedudukannya dapat terus ditongkatkan lagi.

Janji darurat hanya sehingga 1 Ogos dan janjinya juga beliau akan mengadakan PRU selepas itu, tapi apakah janji pemimpin yang sanggup mencadangkan darurat untuk menyelamatkan diri dan tidak menghargai nama yang diberikan oleh ayahnya sendiri, boleh kita percaya dan pegang kata-katanya?

Apabila sokongannya makin kabur, selain kian ramai rakyat yang mengeluh dan tak puas hati, pilihan yang sepatutnya bagi Mahiaddin ialah berani berdepan realiti dengan membuktikan ada sokongan di belakangnya, bukan melaksanakan darurat, menggantung Parlimen dan menambah lagi spesis katak lompat dalam kelompoknya.

Tetapi, itulah Mahiaddin dan tanpa keraguan, jika dalam tempoh setahun sudah dicop sebagai menerajui kerajaan yang gagal, lebih banyak lagi kegagalan akan tercipta jika beliau tidak dijatuhkan dalam tempoh terdekat ini atau kiranya masih ada yang tergamak mahu menyokongnya lagi bila PRU15 tiba nanti.

Tanda pagar #KerajaanGagal adalah realiti yang tidak seharusnya sukar untuk difahami oleh kita semua jika negara ini mahu dibawa ke arah yang betul dan memberi harapan kepada semua rakyatnya. 


(Shahbudindotcom 19/04/2021)