Tiga wakil pembangkang bakal sertai jawatankuasa bebas nasihati Agong



14.01.2021

POST BY AMIR WRLR


Tiga wakil dari pembangkang akan menyertai sebuah jawatankuasa bebas bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan tempoh pelaksanaan darurat.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara tersebut setelah menerima surat rasmi daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hasan yang menujukan perkara itu kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ya, saya telah menerima panggilan daripada Takiyuddin berhubung perkara tersebut.

"Saya juga menerima surat tersebut bagi pihak ketua pembangkang," katanya dilaporkan oleh Malaysiakini.

Bagaimanapun, Saifuddin meminta Takiyuddin menjelaskan sama ada bilangan wakil pembangkang boleh ditambah.

Katanya, ini kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mempunyai 109 sokongan ahli Parlimen selepas Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya ada bertanya mengenai terma rujukan dan komposisinya.

“Ini kerana jumlah ahli parlimen kerajaan dan pembangkang sama. Bahkan dengan perkembangan mutakhir ini mungkin pembangkang yang lebih,” katanya.

Justeru, Saifuddin berkata Takiyuddin berjanji akan memberi maklum balas dalam masa terdekat.

 

No comments: