DARURAT INI HANYA MENYERLAHKAN MUHYIDDIN PM PALING GAGAL….

 

Berdasarkan dapatan umum, baik di lapangan atau di media sosial, rata-rata rakyat didapati menolak pengisytiharan darurat yang dinasihatkan kerajaan kepada Yang Dipertuan Agong untuk dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan.

Hanya golongan pengampu dan pelahap jawatan dalam kerajaan saja yang beria-ia mempertahankan keperluan darurat, sambil cuba memberi ugutan bahawa mempertikaikannya adalah suatu bentuk penderhakaan kepada Agong.

Pengampu dan pelahap jawatan memang begitulah, mereka sengaja mewujudkan kekeliruan, walhal yang dipertikaikan ialah nasihat Muhyiddin kepada Agong dan bukannya peranan Agong sebagai Raja Berperlembagaan.

Bagi majoriti rakyat, mereka melihat tiada kewajaran darurat dilaksanakan untuk menangani Covid19 memandangkan sehari sebelum pengisytiharan itu dilakukan, PKP dan PKPB sudah pun dilaksanakan sehingga 26 Januari akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah semalam berkata, KKM memerlukan tempoh masa sehingga tiga bulan lagi untuk melandaikan kes-kes baru jangkitan Covid19.

Ini bermakna, PKP dan PKPB yang sedang berkuatkuasa sekarang bakal berlanjutan sekurang-kurangnya sehingga Mac atau April serta tidak mustahil terus disambung lagi selepas itu.

Dengan itu, apa perlunya darurat untuk melawan Covid19?

Lebih menghairankan, jika benar untuk menangani Covid19, kenapa dalam darurat ini Parlimen turut digantung dan PRU tidak dibenarkan, sedangkan banyak perkara lain seperti pasaraya masih bebas dibuka tanpa sekatan?

Tidakkah ini menunjukkan darurat adalah senjata akhir Muhyiddin untuk mengekalkan kuasa di sebalik seorang demi seorang Ahli Parlimen UMNO mula menarik sokongan terhadapnya?

Apakah jika tiada ancaman daripada dijatuhkan, misalnya tahun ini tidak ada usul UMNO bahagian-bahagian untuk putus hubungan dengan Bersatu, nasihat darurat masih mahu dicadangkan oleh Muhyiddin kepada Agong?

Berdasarkan hakikat ini, adalah jelas bahawa darurat yang dicadangkan oleh Muhyiddin adalah semata-mata darurat politik yang bertujuan mempertahankan kedudukannya.

Tambahan lagi, walaupun ada beberapa negara lain turut menguatkuasakan darurat untuk menangani Covid19, hanya Malaysia yang didapati menggantung Parlimen bersekali dengan perlaksanaan darurat itu.

Ini menunjukkan darurat yang dilaksanakan di negara kita adalah petunjuk satu lagi kegagalan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang kerjanya ternampak hanya semata-mata ingin mempertahankan kedudukannya walau dengan apa cara sekali pun.

Ketika mula dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac tahun lalu dengan jumlah sokongan yang diketahui umum agak meragukan, Muhyiddin seterusnya mengelak-ngelak dan menangguhkan Sidang Parlimen kerana bimbang beliau dijatuhkan melalui undian.

Sehingga hari ini, walaupun ada undian berkaitan perlantikan Speaker dan Belanjawan 2021, tetapi ia tentulah berbeza dengan usul undi percaya atau tidak percaya terhadap Perdana Menteri sendiri.

Hanya dalam tempoh 10 bulan, bermula dengan sokongan yang meragukan, ia kini lebih buruk apabila tiga Ahli Parlimen UMNO – Tengku Razaleigh Hamzah, Ahmad Jazlan Yaakob dan Nazri Aziz mengumumkan tidak lagi menyokong Muhyiddin.

Maka, ketika beliau menasihatkan Agong untuk melaksanakan darurat, tidakkah ia bermakna beliau sudah pun kehilangan majoriti?

Apakah keadaan ini boleh ditanggapi bahawa ketika Muhyiddin memberi nasihat kepada Agong berkaitan darurat, sebenarnya kedudukannya sebagai Perdana Menteri sudah pun tidak sah?

Selain itu, bersama kegagalan lain dalam menyatukan rakyat dan meningkatkan ekonomi di mana pelaburan dan pendapatan rakyat terus merosot, malah ramai pelabur yang lari ke Indonesia, Muhyiddin boleh dianggap sebagai Perdana Menteri paling gagal dalam sejarah negara.

Bolehkah ditunjukkan satu rekod kejayaannya sebagai Perdana Menteri?

Keinginannya bertahan dengan mencadangkan darurat tidak lebih kerana keegoaan untuk mempertahankan jawatan semata-mata, walhal negara semakin menuju kehancuran dan moralnya sendiri kian merudum di mata rakyat.

Dalam kes Covid19 saja, kalau mahu dihitung, banyak menunjukkan kegagalan dan flip-flop kerajaan dalam menguatkuasakan peraturan sehingga rakyat biasa dan orang kayangan pun dibezakan hukuman.

Dalam hal ini, benar seperti kata Anwar Ibrahim, Muhyiddin sepatutnya meletakkan jawatan dan bukannya menguatkuasakan darurat bila majoritinya sudah tiada lagi.

Darurat ini hanya menyerlahkan kelemahan dan menambah kegagalannya, selain menunjukkan ketaksuban serta ketamakannya untuk mengelakkan kuasa semata-mata.

Hal-hal lain bukan lagi keutamaannya. Noktah. 


(Shahbudindotcom 14/01/2021)




No comments: