Apa perlunya darurat jika menjejaskan masa hadapan rakyat?

 



POSTED BY AMIR WRLR

14.01.2021

 

Perisytiharan darurat tidak diperlukan untuk membendung jangkitan Covid 19 kerana telah dibuktikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mampu menangani wabak berkenaan.


Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, darurat malah akan menyebabkan masa hadapan rakyat lebih terjejas dengan kerana aktiviti ekonomi dan ketelusan pentadbiran.


Di samping itu, Ahli Parlimen Ledang itu juga tidak menolak perisytiharan darurat lebih kepada bermotifkan politik apabila bilangan majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin berkurangan setelah penarikan sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen Umno.

"Saya tidak berniat menimbulkan keraguan atau persoalan apalagi menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi sebagai wakil rakyat saya bertanggungjawab bertanya apakah keperluannya darurat terutama jika ia kemungkinan besar bermotif politik dan dibimbangi boleh tambah menjejaskan nasib dan masa depan rakyat serta negara.

"Apakah wabak Covid-19 dan bencana banjir seperti kata Perdana Menteri (PM), boleh dianggap ancaman kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam sehingga diisytihar darurat? Dengan rendah diri, saya berpendapat tidak!

"Secara umumnya, saya tidak ada masalah pihak kerajaan dan pembangkang bekerjasama demi rakyat dan negara dalam melandaikan lengkok Covid-19 sekali lagi. Segala sumber dan dana wajib ditumpu kepadanya.

"Masalahnya ialah kegagalan kepimpinan kerajaan. Strategi menguruskan wabak sepatutya dikaji semula. Antaranya kepentingan melakukan ujian massa (mass testing), penjejakan kontak yang lebih pantas, pengawalan bersasar dan kaedah mengurus pesakit Covid yang lebih berkesan.

"Ramai yang mahu tampil ke hadapan membantu seperti doktor perubatan, penolong pengawai perubatan, persatuan bantuan kecemasan dan lain-lain, jika diberi peluang dan insentif yang munasabah. Begitu juga dengan hospital swasta.

"Apakah hospital swasta tidak boleh dirunding untuk bekerjasama dalam keadaan mendesak? Apakah hingga perlu kuasa darurat?" tanyanya dalam satu kenyataan.

Menurut Syed Ibrahim lagi, pelaksanaan PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan serta strategi menyeluruh menangani fasa baharu pengurusan dan pengawalan wabak Covid-19 dilihat memadai.

Malah, katanya bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit serta Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) amat meluas dan mampu menangani pandemik Covid-19. Begitu juga dengan bidang penguatkuasaan Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia yang berjaya membuat rakyat berkurung di rumah ketika tempoh PKP Mac 2020.


Oleh itu, tambah Syed Ibrahim kerajaan PN tidak memerlukan darurat untuk meneruskan perang melawan Covid.


"Apa sebenarnya motif di sebalik kuasa-kuasa darurat selama enam bulan sehingga Ogos 2021? Bukankah semua perkara ini boleh ditangani tanpa kuasa darurat, dengan bidang kuasa yang ada di bawah KKM dan MKN?


"Memang benar darurat ini tiada perintah berkurung, tiada rampasan tentera serta kerajaan persekutuan dan negeri serta badan kehakiman berfungsi seperti biasa.


"Tetapi mengapa Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak boleh diadakan sedangkan PRU-15 hanya perlu diadakan menjelang 2023 manakala PRN Sarawak tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021? Kuasa darurat bagi Pilihan Raya Kecil seharusnya memadai seperti yang dibuat untuk Batu Sapi dan Gerik.


"Mengapa Perdana Menteri perlukan perintah pukal begitu melainkan jika beliau tahu kerajaannya telah hilang majoriti dan wajar mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk bubarkan parlimen dan letak jawatan.


"Juga mengapa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak dibenarkan bersidang seperti biasa? Apa kaitannya dengan mengawal merebaknya wabak Covid-19?" tanya beliau lagi.


Bagi Syed Ibrahim, PM Muhyiddin tidak wajar menggantung Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala dan menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.


Mengenai Jawatankuasa Bebas yang akan dibentuk bagi menasihatkan kerajaan PN dan Yang di-Pertuan Agong berkenaan darurat, beliau menanyakan kebebasannya kerana ahli jawatankuasa dilantik oleh pentadbiran Muhyiddin.


"Yang pasti Jawatankuasa Bebas ini bukan tertakluk di bawah Parlimen kerana ia cetusan idea oleh kerajaan. Ia tidak tertakluk di bawah peraturan mesyuarat Parlimen. Jika di bawah Parlimen maka perlu dibawa ke sidang Parlimen untuk dibahas dan diluluskan terlebih dahulu. Apa

komposisinya? Apa bidang kuasanya? Masalahnya Parlimen telah digantung," katanya lagi.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak supaya pihak kerajaan menilai semula nasihat mereka kepada Agong berkaitan perintah darurat. Darurat tidak boleh diterima sama sekali terutama apabila membebankan rakyat dan berselindung di sebalik Covid-19 untuk survival politik.

 

 

No comments: