Dr Dzulkefly calon sesuai terajui Jawatankuasa Bebas Covid-19

 


Dr Dzulkefly calon sesuai terajui Jawatankuasa Bebas Covid-19

Pengerusi Kanun AMANAH, Dr Zulqarnain Lukman berpendapat bahawa Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad adalah individu selayaknya untuk mengetuai Jawatankuasa Bebas yang akan ditubuhkan kerajaan susulan pengisytiharan darurat sebentar tadi.

Beliau berkata, bekas Menteri Kesihatan itu mempunyai pengalaman yang lebih luas dan jaringan dengan ramai pakar kesihatan awam untuk mengemudi jawatankuasa yang akan dianggotai ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta sejumlah pakar kesihatan itu.

“Saya nampak yang selayaknya adalah mantan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad. Ilmu beliau juga berkaitan Covid-19 ini nampaknya sangat mantap.

“Tetapi Jawatankuasa Bebas itu nanti perlu diberikan kuasa sama seperti Kabinet supaya Jawatankuasa tersebut tidak terhalang daripada membuat apa-apa undang-undang dan supaya hanya ada satu command center,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, adalah lebih baik jika Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi amanah kepada mereka yang boleh dipercayai untuk mempengerusikan Jawatankuasa tersebut.

Untuk rekod, Dr Dzulkefly, 65, yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor merupakan Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (AMANAH).

Beliau merupakan bekas pensyarah di Fakulti Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dan HUSM, Kelantan.

Dalam kemaskini terakhir di Twitter sebagai Menteri Kesihatan pada 24 Februari lalu, orang ramai menyatakan rasa sedih dan mengucapkan terima kasih kepada beliau yang telah menyumbang bakti selama 22 bulan sebagai Menteri Kesihatan.

Pada masa sama, Dr Zulqarnain berkata Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terlihat seolah-olah mengakui kegagalan Kabinetnya jika Jawatankuasa Bebas itu hanya menumpukan kepada isu Covid-19 sahaja.

Namun katanya, jika Jawatankuasa berkenaan mempunyai kuasa melampaui isu Covid-19 termasuk mengambil alih pentadbiran negara, maka ia dilihat sebagai langkah kestabilan politik sendiri.

Beliau turut menjangkakan perintah darurat yang diumumkan hanya sebagai langkah agar Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri.

“Ini juga mungkin yang tersirat kerana Yang di-Pertuan Agong turut memanggil Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia untuk menghadapnya.

“Mungkin juga kerana ada desakan Umno untuk membubarkan Parlimen menyebabkan YDPA bersetuju dengan cadangan darurat ini.

“Mungkin juga ini langkah Muhyiddin untuk kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Sebentar tadi, kerajaan mengumumkan untuk menguatkuasakan perintah darurat sehingga 1 Ogos 2021, sekaligus menyaksikan tiada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan.

Sementara itu Zulqarnain berpendapat, sewajarnya Kabinet terus digantung sama seperti penggantungan Parlimen daripada bersidang sehingga lekuk Covid-19 dapat dilandaikan.

Tegasnya, jika Muhyiddin dan Kabinet yang ada ketika ini masih kekal, ia dikhuatiri akan menyebabkan kegagalan kestabilan politik lebih-lebih lagi apabila adanya desakan daripada Umno untuk menarik diri daripada kerajaan.

“Jika kestabilan politik tidak wujud maka kestabilan ekonomi dan kestabilan Covid-19 juga tidak akan wujud,” tambahnya lagi.


No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

MMMMM......HATI HATI JIKA ANDA HANYA MARHAEN