14 Januari 2021
1. Pengumuman PKP 2.0 dan pengisytiharan darurat telah
menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Meskipun PKP 2.0 dianggap
ada asasnya kerana kes positif Covid-19 yang mencanak namun apa kaitannya
dengan pengisytiharan darurat?
2. Saya tidak berniat menimbulkan keraguan atau persoalan apatah
lagi untuk menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi sebagai wakil rakyat
saya bertanggungjawab bertanya apa keperluannya darurat sebegini rupa terutama
jika ia kemungkinan besar bermotif politik dan dibimbangi boleh tambah
menjejaskan nasib dan masa depan rakyat serta negara.
3. Apakah wabak Covid-19 dan bencana banjir seperti kata Perdana
Menteri, boleh dianggap ancaman kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau
ketenteraman awam sehingga diisytihar darurat? Dengan rendah diri, saya
berpendapat tidak! Saya setuju dengan hujah rakan saya Hassan Karim, Ahli
Parlimen Pasir Gudang.
4. Secara umumnya, saya tidak ada masalah untuk pihak kerajaan
dan pembangkang bekerjasama demi rakyat dan negara dalam mengekang jangkitan
wabak dan melandai lengkok Covid-19 sekali lagi. Itu yang sewajarnya kerana
memang benar ia terkait kepentingan perlindungan nyawa. Segala sumber dan dana
wajib ditumpu kepadanya.
5. Masalahnya ialah kegagalan kepimpinan kerajaan. Strategi
menguruskan wabak sepatutya telah dikaji semula. Saya telah bangkitkan dan
memberi beberapa saranan dalam rencana saya bertajuk “PKP; KE MANA KITA?” pada
18 Disember 2020 (https://m.malaysiakini.com/news/555727). Banyak pihak telah
beri pandangan termasuk pakar-pakar perubatan. Antaranya ialah kepentingan
melakukan ujian massa (mass testing), penjejakan kontak yang lebih pantas,
pengawalan bersasar dan kaedah mengurus pesakit Covid yang lebih berkesan.
6. Ramai yang mahu tampil ke hadapan membantu seperti doktor
perubatan, penolong pengawai perubatan, persatuan bantuan kecemasan dan
lain-lain, jika diberi peluang dan insentif yang munasabah. Begitu juga dengan
hospital swasta. Apakah hospital swasta tidak boleh dirunding untuk bekerjasama
dalam keadaan mendesak sekarang? Apakah hingga perlu kuasa darurat?
7. Selain melaksanakan PKP, PKPB dan PKPP serta strategi menyeluruh
menangani fasa baharu pengurusan dan pengawalan wabak Covid-19, maka langkah
menguatkuasakan PKP dan bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di
bawah Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit serta Akta Majlis Keselamatan Negara
(MKN) sudah mencukupi pada pendapat saya untuk menangani pandemik Covid-19.
Begitu juga dengan bidang penguatkuasaan Angkatan Tentera dan Polis Diraja
Malaysia yang dilihat memadai.
8. Di samping itu, kerajaan perlu telus dan bersungguh-sungguh
dalam menguruskan pemberian suntikan Vaksin kepada rakyat. Singapura dan
Indonesia sudah mendahului dalam hal ini. Malaysia bila lagi?
9. Pelan Ekonomi juga wajib berjalan selari. Mengambil
pengalaman lalu, kerajaan sewajarnya lebih bersedia dengan pelan untuk
menangani kemurungan ekonomi dan keyakinan pelabur serta membantu mengatasi
masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan di kalangan rakyat yang terjejas
akibat PKP dan pengisytiharan darurat. Apa pelan konkrit kerajaan?
10. Jadi balik kepada persoalan tadi, apa sebenarnya motif di
sebalik kuasa-kuasa darurat selama enam bulan sehingga Ogos 2021? Bukankah
semua perkara ini boleh dilaksanakan tanpa kuasa darurat, dengan bidang kuasa
yang ada di bawah KKM dan MKN?
11. Memang benar perintah darurat ini tiada perintah berkurung,
tiada rampasan tentera serta kerajaan persekutuan dan negeri serta badan
kehakiman berfungsi seperti biasa.
12. Tetapi mengapa Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihanraya
Negeri (PRN) tidak boleh diadakan sedangkan PRU-15 hanya perlu diadakan
menjelang 2023 manakala PRN Sarawak tidak perlu dilakukan sehingga
selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021? Kuasa darurat bagi Pilihan Raya Kecil
seharusnya memadai seperti yang dibuat untuk Batu Sapi dan Gerik.
13. Mengapa Perdana Menteri perlukan perintah pukal begitu
melainkan jika beliau tahu kerajaannya telah hilang majoriti dan wajar mengadap
Yang di-Pertuan Agong untuk bubarkan parlimen dan letak jawatan.
14. Juga mengapa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak
dibenarkan bersidang seperti biasa? Apa kaitannya dengan mengawal merebaknya
wabak Covid-19?
15. Bukankah tindakan menggantung Parlimen dan Dewan-Dewan
Undangan Negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi
seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara
dan menafikan suara rakyat?
16. Fungsi wakil rakyat bukan sekadar menghadiri aktiviti
mesyuarat Jawatankuasa seperti Jawatankuasa Pilihan Khas (yang belum dilantik
dan bermula pun) tetapi yang lebih hakiki ialah membangkitkan permasalahan dan
penyelesaian isu rakyat, serta menyemak imbang segala dasar dan pelaksanaan
kerajaan. Ini hanya dapat dilakukan jika dewan bersidang.
17. Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam kenyataannya menyifatkan
penubuhan sebuah Jawatankuasa Bebas yang dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen
kerajaan dan pembangkang sebagai proses semak dan imbang Parlimen. Sementara ia
dilihat sebagai tindakan terbuka dan inklusif oleh kerajaan, namun saya ingin
mengingatkan Speaker dan kerajaan bahawa institusi parlimen ialah sebahagian
daripada tiga tiang seri pengasingan kuasa dan tidak wajar dicampuradukkan.
18. Yang pasti Jawatankuasa Bebas ini bukan tertakluk di bawah
parlimen kerana ia cetusan idea oleh kerajaan. Ia tidak tertakluk bawah peraturan
mesyuarat parlimen. Jika di bawah parlimen maka perlu dibawa ke sidang parlimen
untuk dibahas dan diluluskan terlebih dahulu. Apa komposisinya? Apa bidang
kuasanya? Masalahnya parlimen telah digantung.
19. Jadi apakah sebab sebenar parlimen dan dewan undangan negeri
digantung ialah kerana kerajaan Perikatan Nasional ingin mengelak daripada
pengesahan kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen terhadapnya?
20. Kesimpulannya, saya syorkan supaya pihak kerajaan menilai
semula nasihat mereka berkaitan perintah darurat ini. Ia tidak boleh diterima
sama sekali terutama apabila membebankan rakyat dan berselindung di sebalik
Covid-19 untuk survival politik.
SYED IBRAHIM SYED NOH
Ahli Parlimen Ledang
Pengerusi KEADILAN Negeri Johor