Apa guna ada Speaker jika sokong gantung parlimen, soalan pedas Guan Eng terhadap Azhar

 


Apa guna ada Speaker jika sokong gantung parlimen, soalan pedas Guan Eng terhadap Azhar

DAP menyifatkan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar bin Harun gagal mempertahankan kedudukan tinggi Parlimen dengan menyokong Darurat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggantung Parlimen.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan sokongan Azhar terhadap penggantungan Parlimen, menimbulkan persoalan apakah gunanya ada seorang Speaker Parlimen.

Bagi beliau, penggantungan Parlimen perlu dibatalkan untuk mendesak Kerajaan PN menawarkan langkah-langkah kewangan segera bersama PKP demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat.

Bagi Ahli Parlimen Bagan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah kehilangan semua legitimasi politik dan moral untuk mewakili rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri berikutan penarikan sokongan tiga ahli parlimen Umno sehingga hilang majoriti parlimennya.

Katanya, Muhyiddin telah bertindak pantas dengan mengisytiharkan Darurat pada hari Selasa untuk menggantung Parlimen dan kesemua Dewan Undangan Negeri, dengan menggunakan dalih lonjakan jangkitan COVID-19.

Bagi beliau, darurat seluruh negara tidak diperlukan untuk menghentikan pilihan raya kecil, yang boleh ditunda melalui pengisytiharan darurat di kawasan berkenaan.

Bagi pilihan raya umum Parlimen atau pilihan raya negeri Sarawak, masih ada masa kerana tempoh penggal bagi Parlimen dan DUN Sarawak masing-masing berakhir pada tahun 2023 dan 5 Jun 2021.

“Ironinya, kegagalan dan salah urus Kerajaan Muhyiddin dalam isu COVID-19 telah memberi beliau peluang untuk bergantung pada perintah darurat untuk terus berkuasa dengan menggantung Parlimen,” katanya.

Bagi beliau, Perikatan Nasional (PN) telah gagal untuk mengumumkan langkah-langkah kewangan segera untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia yang disertakan bersama pengisytiharan perintah darurat membuktikan bahawa Muhyiddin tidak fokus untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat.

Katanya, kadar pengangguran meningkat sebanyak 0.1% kepada 4.8% pada bulan November 2020 sebagai hasil daripada PKP bersyarat dan pemulihan yang dilaksanakan ketika itu.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kesatuan sekerja dan kumpulan majikan telah memberi amaran terhadap lebih banyak penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja untuk pusingan terbaru PKP dan Darurat.

Industri pelancongan yang kehilangan pendapatan RM100 bilion tahun lalu, memerlukan “sokongan hidup” kewangan segera.

“Namun, bukan sahaja tidak ada bantuan kewangan yang diberikan, malah moratorium automatik pinjaman bank yang dijanjikan (kecuali golongan Top 20), pengeluaran sendiri caruman KWSP dan kenaikan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur untuk tempoh krisis COVID-19 juga masih belum dipenuhi,” katanya.

Antara pilihan nyawa dan mata pencarian, kerajaan juga masih lemah dalam pelaksanaan saringan, pengesanan dan rawatan (test, trace, treat, 3T) secara menyeluruh untuk menyelamatkan nyawa.

Walaupun Dana COVID-19 dikurangkan daripada RM38 bilion pada tahun 2020 kepada RM17 bilion, RM 17 bilion masih merupakan jumlah yang boleh digunakan untuk meningkatkan sistem penyampaian kesihatan kita berdasarkan 3T.

“Malangnya, dana tersebut nampaknya tidak dapat disediakan bagi menyokong wira barisan hadapan kita sama ada untuk mengambil lebih ramai pekerja kesihatan atau membeli vaksin,” katanya.

Pada ketika Singapura telah menerima penghantaran dan memulakan vaksinasi besar-besaran, para Menteri kita baru menandatangani kontrak untuk membeli vaksin ini, katanya.

“Kelewatan dua bulan dalam penghantaran vaksin ini bermaksud bahawa lebih banyak nyawa akan terkorban dengan sia-sia,” kata bekas Menteri Kewangan itu.

Katanya, masanya sudah tiba untuk para Menteri bangun daripada tidur dan bekerja keras untuk melakukan tugas mereka dengan betul.

“Rakyat Malaysia mahu kerajaan memberi tumpuan untuk menyelamatkan mata pencarian dan nyawa bukan pada survival politik atau jawatan politik mereka sendiri,” katanya.



No comments: