PUTUS HUBUNGAN DENGAN BERSATU, BERERTI PUTUS JUGA DENGAN PAS

 

Sementara UMNO dalam peringkat akhir menuju keputusan muktamad sebelum memisahkan dirinya dengan Bersatu dan mahu memastikan kerajaan PN dijatuhkan, parti itu dalam masa yang sama tetap berharap hubungan dengan Pas terus berkekalan.

Setelah semalam Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengadakan perjumpaan dengan Ketua-Ketua UMNO bahagian seluruh negara dan persoalan meninggalkan daripada kerajaan turut ditekankan, keputusan akhir mengenainya bakal dimuktamadkan dalam mesyuarat MT UMNO malam ini.

Beberapa pemimpin UMNO, kecuali di Kelantan dan Terengganu, berharap muafakat politik dengan Pas tidak terjejas di sebalik putusnya hubungan dengan Bersatu itu nanti.

Bahkan, Zahid Hamidi sendiri dilapor mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Hadi Awang sebaik selesai berjumpa Ketua-Ketua UMNO bahagian semalam.

Ia menandakan UMNO amat berharap mereka terus dapat bersama Pas menghadapi PRU15, bukan saja untuk mengalahkan PN, bahkan juga untuk memastikan PH tidak mampu bangkit lagi.

Tercapaikah hasrat UMNO itu?

Dua persoalan yang meragukan tentang harapan UMNO itu ialah kerana Pas sudah berada secara rasmi dalam PN dan pendirian UMNO di Kelantan dan Terengganu yang seolah-olah tidak boleh berbaik langsung dengan parti tersebut.

Meskipun Pas kerapkali bernada lunak mengatakan ingin terus memperkasakan MN dan dalam masa yang sama mahu mempertahankan PN, hakikatnya kedudukan Pas dalam PN adalah rasmi, manakala kedudukannya dalam MN tiada ikatan apa-apa.

Jika wujud pilihan untuk PRU akan datang, sudah tentu Pas lebih memilih PN berbanding MN, tambahan lagi Pas juga agak selesa dan terhutang budi kepada Muhyiddin Yassin lantaran diberi banyak nikmat jawatan dalam kerajaan sekarang ini.

Lebih daripada itu, selain PN sendiri sudah membentuk barisan kepimpinan peringkat pusatnya, gabungan itu juga turut mengumumkan perlantikan pengerusi-pengerusi negeri, baru-baru ini.

Semua ini menandakan Pas lebih mungkin bersama PN dan meninggalkan UMNO dalam PRU akan datang ini.

Tidak mungkin setelah berada sejauh itu dalam kerangka gabungan PN, Pas tiba-tiba mahu meninggalkannya untuk bersama MN dan UMNO yang tiada ikatan yang sah mengikat mereka.

Kemungkinan Pas terus bersama Bersatu dalam PN dan meninggalkan UMNO serta MN turut dipermudahkan lagi dengan pendirian UMNO di Kelantan dan Terengganu yang enggan bersama parti itu.

UMNO Kelantan memberi kata dua kepada Pas agar memilih untuk bersama MN atau PN dan mengumpamakan ibarat seorang isteri yang tidak boleh bersuami dua, UMNO Terengganu lebih keras lagi dengan enggan sama sekali bersama dengan Pas.

Realiti ini, sama ada UMNO sedar atau tidak, mereka harus bersedia dengan hakikat tiada jodoh lagi dengan Pas selepas ini.

Berharap dapat kekal bersama Pas selepas memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah suatu pengharapan yang sia-sia saja buat UMNO.

Walaupun Pas lebih lebih dulu bertemu UMNO, tetapi hatinya nyata lebih terpaut kepada Bersatu yang jauh berkemampian serta lebih berada.

Putusnya hubungan UMNO dengan Bersatu boleh dikata putuslah juga hubungan parti itu dengan Pas.

Di depan yang menanti selepas keputusan MT UMNO malam ini tidak lain ialah pertandingan tiga penjuru atau lebih daripada itu.

(Shahbudindotcom 06/01/2021)



No comments: