GEMPAR!! | KHAIRY AKAN LETAK JAWATAN MENTERI KERAJAAN PN

Bob Kelanang

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sedia melepaskan jawatannya dalam Kabinet jika diarahkan UMNO.


Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO itu, berkata sebagai ahli organisasi terbabit, beliau terikat dengan keputusan parti.


“Pembuat keputusan tertinggi adalah MKT (Majlis Kerja Tertinggi), yang mana saya dimaklumkan mesyuaratnya akan diadakan esok.


 

“Jika UMNO memutuskan dan mengarahkan untuk menarik diri, saya akan mengikut keputusan itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen, hari ini.


Kebelakangan ini, hubungan di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin longgar, susulan kenyataan dibuat beberapa pemimpin kedua-dua parti, terutama desakan UMNO supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.


Turut mencetuskan konflik adalah dakwaan berlaku perebutan dan ‘pembelian’ ahli serta isu pengagihan kerusi pilihan raya.


Terbaru, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, malam tadi menyarankan BERSATU memberi tumpuan kepada kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding pada PRU-15.


Kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, ia bagi mengelakkan BERSATU mengganggu kerusi tradisi UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga mengundang konflik serta pertelingkahan berterusan antara parti terbabit.


Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN dipetik berkata, kemarahan akar umbi UMNO ketika ini antara lain disebabkan tindakan beberapa pemimpin BERSATU mahu meletakkan calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini dimenangi UMNO serta BN.


Terdahulu pada hujung minggu lalu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu mahu bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN dimenanginya pada PRU-14.


Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata, UMNO dan BN tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) dan sokongan kepada kerajaan sekarang hanya daripada kalangan Ahli Parlimen sahaja.


Beliau turut memaklumkan, 143 daripada 191 ketua UMNO bahagian seluruh negara menyatakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 nanti.


Sementara itu, Khairy ketika ditanya pandangannya berhubung tindakan menggantikan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dengan Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pelantikan bagi jawatan itu adalah kuasa mutlak Ahmad Zahid.


“Sama ada ia adil atau tidak, ia adalah persoalan politik yang akan dijawab dalam masa beberapa hari lagi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rembau.


Ditanya sama ada rancangan pemberian vaksin COVID-19 akan terganggu jika PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat, katanya, pihak berkuasa kesihatan tidak bersetuju jika PRU-15 diadakan ketika penularan wabak.


Malah, Khairy menegaskan, pada prosiding PAC mengenai vaksin hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan tidak bersetuju apa-apa pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.


Menjawab soalan sama ada UMNO boleh menang besar pada PRU-15 tanpa kerjasama dengan BERSATU, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, ia perkara yang perlu dibincang dan diteliti dengan lebih mendalam.


“Selain itu, keputusan yang dibuat MKT adalah kita tidak ada apa-apa kerjasama dengan DAP atau PKR. Itu keputusan parti yang juga saya persetujui,” katanya