Penyokong BN mahu Umno kekal dalam PN?

 

Tanya ahli Umno bukan cerdik. Mereka bukan tahu apa pun asal dapat duit kopi. Maka sebab itulah ramai yang bakal dibeli Bersatu. Apa yang mereka tahu tentang Naga ditelan cacing...kah....nasib la...


Penyokong BN mahu Umno kekal dalam PN?

Penyokong BN mahu Umno kekal dalam PN?

Tinjauan mendapati kebanyakan penyokong BN mahu Umno kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tinjauan yang dilakukan Merdeka Center itu mendapati 54 peratus responden yang mengaku penyokong BN tidak setuju ketika ditanya apakah Umno harus menarik diri daripada kerajaan, berbanding 35 peratus bersetuju.

Namun, keputusan itu berubah apabila responden ditanya apakah Umno harus “bergerak sendirian” pada pilihan raya akan datang.

Kali ini, 49 peratus penyokong BN bersetuju bahawa Umno harus bergerak sendirian, berbanding 39 peratus tidak setuju. Keadaan itu boleh mengakibatkan pertandingan pelbagai penjuru melibatkan calon Umno dan Bersatu.

Sebaliknya penyokong Pakatan Harapan (PH) menyokong perpecahan dalam gabungan kerajaan bagi kedua-dua soalan tersebut, manakala penyokong PN membantahnya.

Tinjauan itu dibuat ketika ketegangan antara Umno, Bersatu dan PAS berhubung kerjasama antara parti-parti itu sekarang dan hala tuju mereka.

Sebelum ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 143 daripada 191 bahagian Umno (74.8 peratus) menolak kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata parti itu tidak mahu terheret dalam perselisihan antara Umno dan Bersatu.

Tinjauan Merdeka Center melibatkan 1,202 responden berumur 21 tahun ke atas, yang ditemubuat melalui telefon dalam tempoh sembilan hari dari 23 Disember hingga 31 Disember tahun lalu.

 

Dikatakan tinjauan itu merangkumi 222 kawasan parlimen di negara ini dan mempunyai margin kesalahan ± 2.83 peratus.

Kajian ini dibiayai sendiri oleh Merdeka Center.

Secara keseluruhan, 44 peratus responden tidak setuju bahawa Umno harus menarik diri daripada kerajaan PN, berbanding 31 peratus bersetuju.

Reaksi responden juga bercampur-campur apabila ditanya sama ada Umno harus bertanding pada pilihan raya umum ke-15 secara bersendirian di mana 41 peratus tidak setuju, manakala 39 peratus lagi bersetuju.

Di kalangan pengundi Melayu, Merdeka Center menyatakan 51 peratus tidak bersetuju dengan cadangan bahawa Umno harus bersendirian pada pilihan raya akan datang, berbanding 36 peratus setuju.

Sama ada Umno harus menarik diri daripada kerajaan sekarang, 61 peratus orang Melayu tidak setuju dan 21 peratus setuju.

“Pada pandangan kami, dominasi PN di kalangan pengundi Melayu akan terjejas secara negatif sekiranya Umno memutuskan untuk bersendirian dan seiring dengan itu, menimbulkan ketidakpastian mengenai keputusannya sekiranya pilihan raya diadakan.

“Sekiranya senario ini menjadi kenyataan, ia mungkin mewujudkan keadaan yang serupa dengan pilihan raya umum 2018 di mana pengundi Melayu berpecah tiga dalam pertandingan banyak penjuru,” katanya dalam kenyataan.

Kaji selidik itu tidak mendedahkan pecahan responden yang masing-masing dikenalpasti sebagai penyokong PH, BN, atau PN. Ia juga tidak menyatakan reaksi pengundi Melayu berdasarkan kecenderungan politik mereka.

No comments: