UMNO JANGAN BERGANJAK LAGI.ANNUAR MUSA MEMUDAHKAN MT MEMBUAT KEPUTUSAN MALAM INI.

 

Segala-galanya kini sudah terdedah secara terbuka dan bukan merupakan suatu rahsia lagi.

Menjelang mesyuarat MT UMNO malam ini di mana parti itu akan membuat keputusan penting berhubung kedudukannya dalam kerajaan PN, Annuar Musa tampil mendedahkan tentang surat sokongan Zahid Hamidi yang dihantar kepada Yang Dipertuan Agong untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Kata Annuar yang semalam dipecat sebagai Setiausaha Agung BN, surat Zahid Hamidi yang ditandatanganinya bersama Najib Razak kepada Agong itu adalah tulen.

“Saya tahu semua sekali dan surat ini saya sudah semak dengan banyak pihak dan surat ini adalah tulen.

“Dalam surat ini antara perkara-perkara yang disebut ialah menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang, menukar Perdana Menteri dan menjanjikan kesetiaan kepada Anwar,” kata beliau ketika sidang medianya yang dilihat lebih berupa serangan kepada Zahid Hamidi kerana memecatnya sebagai Setiausaha Agung BN.

Dengan pendedahan Annuar ini, bersekali pula majoriti UMNO bahagian-bahagian telah meluluskan usul enggan bekerjasama dengan Bersatu dan tidak mahu berada lebih lama dalam kerajaan PN, bermakna apa yang cuba diusahakan Zahid Hamidi selama ini tidak perlu disembunyikan lagi.

MT UMNO malam ini hanya perlu mengesahkan saja keputusan UMNO bahagian-bahagian itu, sambil memutuskan tindakan susulan yang sewajarnya bagi menjadikan apa yang dirancang benar-benar menjadi kenyataan.

Sebagaimana bukan rahsia juga, bahkan sudah dibincangkan dalam perjumpaan Zahid Hamidi dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian semalam, tindakan susulan yang dinanti-nantikan ialah pengumuman penarikan sokongan terhadap Muhyiddin yang diikuti dengan arahan agar Ahli-Ahli Parlimen UMNO meletakkan semua jawatan dalam kerajaan dan GLC.

Hanya yang menjadi persoalan, bilakah tindakan itu akan dilakukan – berkuatkuasa serta-merta atau sebelum 1 Februari akan datang?

Dalam hal ini, oleh kerana semuanya tiada lagi yang rahsia, tindakan menarik sokongan dan meletakkan jawatan haruslah dilakukan dengan segera atau serta-merta tanpa perlu menunggu sehingga 1 Februari atau tarikh-tarikh lain lagi.

Lagi pun, untuk apa perlu ditunggu atau ditangguh-tangguh lagi?

Yang ditakuti, menangguhkan lagi tindakan menarik sokongan dan menjatuhkan Muhyiddin hanya akan menjejaskan nama Zahid Hamidi dan UMNO itu sendiri seolah-olah ada tawar-menawar yang masih diharapkan dengan Perdana Menteri.

Tindakan itu dengan sendirinya akan turut membuatkan akar umbi UMNO sendiri hilang percaya serta hormat kepada Zahid Hamidi dan MT lantaran apabila mereka meluluskan usul di bahagian-bahagian baru-baru ini, ia pastilah dengan tekad dan keyakinan mereka untuk sedia berdepan dengan apa saja kemungkinan.

Sama ada selepas tindakan menarik sokongan itu akan berlaku PRU15 seperti yang diharapkan UMNO ketika ini atau bakal terbentuknya kerajaan baru kerana mungkin Agong berasakan tidak sesuai mengadakan pilihanraya, UMNO harus berlapang dada dan sedia menerima apa saja kemungkinan yang datang.

Tambahan lagi, bukankah menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri melalui surat yang dihantar Zahid Hamidi dan Najib kepada Agong telah disahkan sendiri oleh Annuar sebagai tulen dan asli?

Jadi, tidakkah sama ada terbentuk kerajaan baru dengan Anwar menjadi Perdana Menteri atau berlaku PRU, kedua-duanya adalah apa yang dikehendaki oleh Zahid Hamidi, Najib dan UMNO juga?

Pengesahan Annuar bahawa surat tersebut sebagai tulen, bukan saja mengesahkan Anwar memang mempunyai cukup angka ketika mengadap Agong sebelum ini, bahkan ia juga sepatutnya memudahkan lagi kerja MT UMNO membuat keputusan malam ini.

Jalan terus dengan apa yang yang sudah ditekadkan kerana yang lebih penting, menarik sokongan dan menjatuhkan Muhyiddin dengan segera adalah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan masa depan UMNO daripada terus dibuli, malah mungkin ditelan oleh Bersatu.

 (Shahbudindotcom 06/01/2021)



No comments: