'PH hapus surat sokongan, menteri PN hidupkan semula'

 

Surat sokongan untuk meluluskan projek tidak diamalkan pada era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) namun dihidupkan semula pada era pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, Pemuda Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan menganggap perbuatan Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini yang mengeluarkan surat sokongan sebagai keterlaluan.

Dakwa mereka, surut sokongan itu dilaporkan seakan-akan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meluluskan Projek secara "Runding Terus" yang berharga berbillion ringgit di Kuala Krai, Kelantan, yang telah dihentikan amalannya pada era PH

"Semasa zaman PH memerintah, PH telah menghapuskan sistem surat sokongan. Namun hari ini, Kerajaan PN nampaknya seperti ingin menghidupkan kembali tradisi BN (surat sokongan) yang tidak boleh diterima pakai terutama apabila membabitkan wang rakyat.

"Selain itu, banyak kelemahan sekiranya projek Runding Terus ini dijalankan terutama projek akan diberikan kepada kroni yang tidak berkemampuan. Hal ini sekaligus menghalang pembinaan yang berkualiti dalam mencapai objektif pembangunan terancang yang lestari.

"Sewajarnya pada waktu ini, Annuar Musa selaku Menteri Wilayah perlulah fokus dengan usaha bagi membantu masyarakat yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19. Usahlah terlalu mengejar kekayaan demi untuk mengekalkan kuasa politik," kata mereka dalam satu kenyataan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua AMK Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan Asmaaliff Abdul Adam dan Ketua DAPSY Wilayah Persekutuan Lee Bing Hong.

 

No comments: