‘MB Kedah jangan angkuh dengan air’


‘MB Kedah jangan angkuh dengan air’



Biro Undang-Undang AMANAH Nasional (KANUN) menegaskan agar Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tidak angkuh berhubung isu bekalan air kepada Pulau Pinang.

KANUN mengingatkan sebarang sekatan air oleh Kerajaan Negeri Kedah terhadap Pulau Pinang adalah tidak berperlembagaan dan tidak mengikut undang-undang.

Pengerusinya, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, hak kepada air itu adalah termaktub di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan – “Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang”.

“Dalam kes Tan Tek Seng v. Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan & Anor [1996] 1 MLRA 186; [1996] 1 MLJ 261; telah diputuskan bahawa ‘right to life’ itu adalah termasuk juga ‘right to livelihood’ (hak untuk kehidupan teratur).

“Selain itu, bidang kuasa pengurusan air juga terletak dalam bidang kuasa Negeri dan Persekutuan selaras dengan kehendak Akta Perkhidmatan Industri Air 2016 (Akta 655) berkaitan kuasa eksekutif Persekutuan dalam hal sistem dan perkhidmatan bekalan air,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, pihaknya berharap supaya Sanusi tidak bertindak melampaui batas undang-undang termasuk dengan menyuruh orang-orang kampung untuk ‘membelat’ aliran Sungai Muda.

Turut menyokong kenyataan Sanusi, katanya, ialah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Pesuruhjaya Pas Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya yang mempersoalkan status ‘halal’ penggunaan air itu oleh Negeri Pulau Pinang.

Terdahulu, Sanusi menyatakan bahawa kerajaan negeri Kedah berhak menyekat dan mengubah aliran Sungai Muda di Pulau Pinang.

Kenyataan itu susulan tuntutan Kedah terhadap Perbadanan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang (PBAPP) supaya membayar caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun.

Menurut Sanusi, kerajaan negeri itu sudah banyak kali menghantar surat untuk meminta bayaran tersebut kepada PBAPP sejak 2010 tetapi tiada sebarang jawapan mahupun bayaran dilakukan.

Pemimpin Pas itu juga mengingatkan PBAPP agar tidak mencampuri segala urusan berkaitan sumber air Kedah selagi tidak membayar tuntutan diminta.

Sehubungan itu, Dr. Zulqarnain berkata, pihaknya menyeru Sanusi untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar kerana air adalah sumber kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk di atas muka bumi.

“Sebarang tindakan menyekat sumber air itu kepada negeri Pulau Pinang akan mendatangkan akibat buruk kepada rakyat Pulau Pinang termasuklah kepada orang-orang Pas sendiri dan ini akan bertentangan dengan prinsip Rahmatan Lil ‘Aalameen,” ujarnya.

Dalam masa sama, KANUN juga, katanya, hairan dengan sikap Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berdiam diri semenjak 48 jam yang lalu walaupun isu ini hangat diperbincangkan sama ada di media perdana mahupun di media sosial.

“Sewajarnya Kementerian mengambil langkah-langkah yang tegas berkaitan isu ini selaras dengan Dasar Sumber Air Negara 2010-2050,” katanya.

Antara lain dasar itu menyatakan bahawa ‘Air untuk rakyat: semua mempunyai akses kepada air yang selamat, mencukupi dan termampu untuk tujuan bekalan, kebersihan dan sanitasi.’

“Tindakan YAB Menteri Besar Kedah ini jelas adalah tidak selaras dengan dasar Kementerian.

“KANUN menyatakan bahawa jika pun wujud tanggungjawab bersama untuk menjaga sumber air itu maka ianya hendaklah diselesaikan menurut undang-undang yang dikanunkan dan bukan dengan sesuka hati mengikut hawa nafsu semata-mata,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak mentadabbur pesanan Allah Taala yang mengingatkan manusia tentang kisah dua pemilik kebun yang seorang berbangga takabbur dengan kelebihan kebunnya dan seorang lagi yang tawadhuk.

“Akhirnya kebun sang takabbur itu musnah dan sumber air dalam kebunnya hilang,” ujarnya lagi.

No comments: