Hasnul pengkhianat parti, wajar dipecat, kata Bersatu Parit Buntar

 

Hasnul pengkhianat parti, wajar dipecat, kata Bersatu Parit Buntar


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Parit Buntar menyelar tindakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti tersebut yang tidak menyokong undi percaya terhadap Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada minggu lalu.

Ketua BERSATU Parit Buntar, Md Nayan Salleh, berkata tindakan ADUN yang juga ahli di kawasan itu, amat memalukan.

Malah katanya kepimpinan BERSATU Parit Buntar turut menyifatkan tindakan ADUN itu seolah-olah sebagai pengkhianat terhadap parti sendiri.

“Tindakan ADUN berkenaan kita anggap seperti ‘menjaringkan gol kedalam gawang sendiri’ sehingga menyebabkan Ahmad Faizal hilang jawatan Menteri Besar Perak,” katanya.

Tambahnya lagi BERSATU Parit Buntar juga menyifatkan tindakan ADUN tersebut seolah-olah ‘membunuh’ parti sendiri selain menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti bagi menentukan tindakan selanjutnya.

“Jika pucuk pimpinan mahukan beliau dilucutkan keahliannya, kami tidak membangkang kerana kami yakin apa yang dilakukan adalah untuk masa depan BERSATU,”katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program sarapan pagi bersama penduduk kawasan penduduk di Kuala Kurau, dekat sini, hari ini

Dalam program itu juga Md Nayan turut berkesempatan menyampaikan 2,000 keping pelitup muka kepada peniaga dan pengunjung pasar awam.

Terdahulu sebuah portal berita melaporkan BERSATU sedang mempertimbangkan bagi mengambil tindakan terhadap ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Laporan yang memetik sumber dalaman parti itu berkata ia selepas Hasnul didakwa tidak mengundi usul percaya terhadap Ahmad Faizal pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat minggu lalu.

Menurut sumber dalaman parti itu lagi, mereka kini turut sedang mempertimbangkan kedudukan Hasnul dalam BERSATU.

Sumber: Perak Today