PKR dakwa Mahathir cuba gagalkan usaha PH jadi kerajaan

 

PKR dakwa Mahathir cuba gagalkan usaha PH jadi kerajaan

Kenyataan terkini Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan sebagai cubaan untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) bagi mendapatkan semula kerajaan, kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menurutnya, kenyataan Mahathir menggambarkan beliau terdesak dilihat relevan dalam arus politik perdana ketika ini.

“Kita semua sedia maklum akan kegagalan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam mempertahankan Agenda Reformasi dan mandat yang diberikan oleh rakyat sepanjang 22 bulan PH memerintah negara.

“Tindakan Tun Dr. Mahathir yang meletak jawatan tanpa sebarang perbincangan dengan pimpinan PH adalah punca kejatuhan kerajaan seterusnya memangkin rampasan kuasa secara khianat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan dukungan gerombolan pimpinan Bersatu,” katanya.

Shamsul berkata, dalam usaha Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Harapan menggembleng sokongan pelbagai pihak untuk mendapatkan kembali mandat rakyat yang dirampas, Tun Mahathir perlu menghentikan tindakan-tindakan yang kini dilihat sebagai langkah untuk memecahbelahkan Pakatan Harapan serta menggagalkan usaha tersebut.

Katanya, Tun Mahathir sewajarnya bermuhasabah dan insaf bahawa punca segala ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara mutakhir ini berpunca dari tindakan beliau sendiri.

“Beliau seharusnya menunjukkan sikap sebagai seorang negarawan dan membantu usaha Dato’ Seri Anwar dan PH untuk mengembalikan mandat rakyat dan bukan menggagalkannya,” kata beliau di Facebooknya.

Terdahulu, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight Tun Mahathir dilaporkan berkata Anwar tidak layak untuk memegang jawatan Perdana Menteri di saat negara sedang berhadapan dengan krisis.

Mahathir berkata, Anwar yang pernah menjadi timbalannya itu tidak mampu mengemudi negara jika berlakunya krisis kewangan, dengan menyorot krisis ekonomi pada 1997 sebagai contoh.