Mahathir mengidap sakit kronik "Anwar-0- Phobia" - Oleh Zunar( VERSI ORIGINAL)

 Mahathir mengidap sakit kronik "Anwar-0- Phobia" - Oleh Zunar


ANWAR tak mampu tadbir negara ketika krisis, begitulah kata Mahathir seperti dilaporkan oleh media. Kenapa bekas perdana menteri itu masih mengeluarkan kenyatan seperti ini sedangkan beliaulah yang datang berjabat tangan dengan Anwar di mahkamah untuk membentuk gabungan PH sebelum PRU ke 14?


Kenapa kenyataan yang bersifat gelisah, penuh dendam kesumat dan berhati kaldu ini masih diucapkan?


Memerhati dengan rapat tingkah laku beliau, penulis dapat katakan bahawa Mahathir mempunyai sejenis penyakit, "Anwar-0-Phobia," iaitu sejenis penyakit kronik yang mana pesakitnya hidup dalam ketakutan terhadap manusia bernama Anwar Ibrahim.


Pesakit bernama Mahathir ini tidak akan dapat tidur lena selagi Anwar mempunyai walaupun 1% peluang untuk jadi PM.


Kenapa Mahathir takut kepada Anwar? Mudah, kerana beliau tak mahu ada orang yang lebih baik dari beliau memimpin negara ini. Selama ini dia dianggap sebagai PM yang hebat - sebagai jagoan, Wira Dunia Ketiga dan pemimpin serba maha. Sudah tentu kewiraan ini nampak jelas jika dibanding dengan Pak Lah, Najib dan Muhyiddin.


Tetapi jika dibanding dengan Anwar, kemungkinan tidak.

Kerana itu, Anwar harus dihalang untuk menjadi PM selagi hayat Mahathir ada.


Berbalik kepada kenyataan terbaru Mahathir bahawa Anwar tak mampu tadbir negara di saat krisis. Maksud Mahathir bahawa beliaulah orang yang paling layak mentadbir negara ketika krisis.


Mari kita lihat sebahagian dari senarai rekod-rekod Mahathir mentadbir negara ketika dalam krisis.

Dari segi ekonomi, pada krisis kewangan 1988, seorang ahli pernigaan telah mengalami kerugian besar dalam perusahaan perkapalan. Mahathir telah mengarahkan supaya wang negara berjumlah RM1.7 bilion digunakan untuk mem'bailout" syarikat tersebut. Ahli pernigaaan yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah Datuk Mirzan, anak Mahathir sendiri! Orang yang tidak mahu mengeluarkan wang negara bagi tujuan tersebut ketika itu ialah Menteri Kewangan, iaitu Anwar Ibrahim. Kerana itu Daim dilantik sebagai Menteri Khas untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.


Berapa billion lagi wang negara dihabiskan untuk membantu keluarga dan kroni beliau? Ruang ini tidak cukup besar untuk mengupas isu Empangan Bakun, Lebuhraya PLUS, Perwaja dan lain-lain yang mempunyai cerita yang hampir sama. Apakah ini kriteria seorang kepala negara yang pandai mentadbir ketika krisis? Untuk selamatkan anak dan kroni?  

Dari segi politik- pada 1998, ketika krisis kempimpinan Umno yang menyaksikan Mahathir hampir-hampir kalah kepada Tengku Razaliegh sebagai presiden dalam pemilihan Umno, Mahathir menggunakan kuasa kuku besi untuk bertindak ke atas hakim-hakim yang mahu membicarakan kes tersebut


Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas bersama lima hakim -Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Seah telah dipecat oleh Mahathir.  

Tindakan Mahathir tersebut menyebabkan kehancuran parah kepada sistem kehakiman negara dan ia gagal dipulihkan sampai hari ini. Hakim-hakim tersebut dipecat untuk menyelamatkan kedudukan Mahathir sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri. Apakah memijak kedaulatan undang-undang bagi menyelamatkan kedudukan sendiri dianggap sebagai kemampuan mentadbir?


Sebelum itu, Oktober 1987, Mahathir juga menangkap 119 aktivis dan ahli politik di bawah undang-undang tanpa bicara ISA dalam Operasi Lallang.  

Dua akhbar bebas ketika itu - The Star dan Watan juga diharamkan. Selepas itu, ISA terus digunakan Mahathr untuk menutup mulut pengkritik-pengkritik pemerintahan beliau. Tidak perlu jadi santis roket untuk menyatakan cara kekuasaan kuku besi ketika krisis bukanlah ciri-ciri seorang pemimpin yang bagus untuk negara. Semua diktator di dunia menggunakan cara ini untuk mengekalkan kuasa


Ketika berkonspirasi untuk memfitnah serta memenjarakan Anwar Ibrahim pada tahun 1998, Mahathir turut menyeret semua institusi negara untuk terlibat dalam  percaturan kotor itu. Jabatan Peguam Negara, Hakim-hakim, PDRM, institusi pendidikan dan hampir kesemua jabatan kerajaan dikerah untuk menyokong dan menyelamatkankan beliau. Akhirnya institusi-institusi yang dulunya sangat independen dan berwibawa bertukar menjadi lemah dan kehilangan jati diri. Ia menyebabkan rakyat dan mesyarakat turut menjadi lemah. Siapa yang menjadi tukang menghancurkannya? Mahathir sendiri. Apakah Anwar tidak layak mentadbir? Jawapanmya mudah saja. Beri peluang Anwar sebagai PM dan biar rakyat menilai. Noktah.