Belanjawan 2021: PN bertarung nyawa, rakyat diketepikan - Faizah

 


Belanjawan 2021 tidak lebih daripada perjuangan hidup-mati bertarung nyawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan bukannya belanjawan melawan pandemik Covid 19 sebagaimana diwar-warkan oleh media arus perdana.

Naib Ketua Wanita KEADILAN Malaysia, Datin Faizah Ariffin berkata, dana RM85 juta yang diperuntukkan bagi menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang merekayasa propaganda bagi pihak kerajaan jelas memperlihatkan Belanjawan 2021 tidak membela rakyat.

"Usai pembentangan pada 6 November lalu saya mencari di mana isi yang dikatakan sebagai belanjawan pemulihan ekonomi dan menentang Covid?

"Jawapannya tiada. Lebih menyedihkan peruntukan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai barisan hadapan dipotong. Lebih memeranjatkan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan diwujudkan semula dengan peruntukan sebanyak RM85.5 juta.

"RM 8.6 juta pula diperuntukkan kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang hanya di tiga buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Apakah rasionalnya peruntukan sebanyak itu hanya untuk tiga buah negeri? Jelas dan terang ini adalah bermotifkan politik dengan menggunakan wang yang sepatutnya membantu rakyat untuk bangkit semula daripada pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Faizah, Belanjawan 2021 telah disalahgunakan oleh kerajaan PN untuk terus kekal berkuasa dengan majoriti tipis yang boleh rebah pada bila-bila masa.

Katanya, jika peruntukan JASA boleh dipindahkan ke sektor kesihatan maka ia akan membantu menambah baik perkhidmatan hospital dan membantu rakyat yang terdesak memperoleh rawatan perubatan awam pada saat-saat kekurangan pendapatan.

Selain itu, Faizah turut mengecam polisi kerajaan yang menghalang pekerja mengeluarkan caruman KWSP RM10,000 sekali gus untuk menampung usaha meneruskan penghidupan dalam pandemik Covid yang belum berakhir.

"Sebelum ini Pakatan Harapan lantang menyanggah cadangan pengeluaran akaun 2 KWSP bagi mereka yang kehilangan kerja kerana mereka mempunyai caruman Sistem Insuran Pekerja (SIP), tetapi kerajaan PN telah gagal melaksanakannya (SIP).

"Kali ini rakyat mendesak agar kerajaan PN memberi kebenaran mengeluarkan RM10,000 secara "one-off" dari akaun 1 KWSP dan permintan itu tidak diendahkan.

"Kesimpulannya kerajaan hari ini tidak ada kepedulian atas masalah kelangsungan hidup rakyat. Yang mereka utamakan adalah 'survival' politik yang kini bagai telur di hujung tanduk.

"Jika kerajaan susah untuk bantu rakyat, janganlah rakyat juga diberi susah untuk terus berjuang pulihkan ekonomi," katanya lagi.

 

No comments: