SIAPA PALING LEMAH.MUHYIDDIN ATAU UMNO


 Menurut kata veteran UMNO, Shahrir Samad, Muhyiddin Yassin adalah Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara.

Beliau memberi empat sebab atas hujahnya itu:-

Pertama, kerana cubaan mengisytiharkan darurat dengan berselindung di sebalik Covid19, walhal tindakan itu adalah tanda beliau seorang yang “desperate”.

Kedua, apabila cadangan itu ditolak oleh Agong, ia lagi mendedahkan kelemahan beliau untuk mengukuhkan kedudukannya di mana sepatutnya beliau meletakkan jawatannya.

Ketiga, berdepan Bajet 2021 di mana ia jelas mendapat talian hayat daripada Agong yang bertitah agar ia diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Keempat, sokongan bersyarat Pengerusi BNBBC, Najib Razak terhadap Bajet 2021 meletakkan Muhyiddin dalam keadaan serba salah – ditolak susah, diterima pula lagi kelihatan PN lemah.

Sesungguhnya apa yang dihujahkan oleh bekas menteri ini bukan saja betul dan tepat, tetapi keadaan ini juga pertama kali berlaku di mana parti yang bergabung dalam kerajaan sendiri memberi syarat atau “ugutan” kepada seorang Perdana Menteri yang dianggapnya paling lemah yang pernah ada dalam sejarah.

Tidak dinafikan pula, dengan kedudukan 43 kerusi Parlimen yang dimilikinya, BN turut merupakan pemegang konsesi terbesar dalam kerajaan PN, lebih besar daripada Bersatu yang diketuai Muhyiddin sendiri yang cuma ada 31 kerusi saja.

Soalnya, dengan kerusi terbanyak, pemegang saham terbesar dan Muhyiddin pula dianggap paling lemah, kenapa UMNO dan BN masih mahu membiarkan Presiden Bersatu itu terus kekal sebagai Perdana Menteri?

Ditambah dengan beberapa siri pembulian Bersatu terhadap UMNO – terakhir menikahi Pas dalam keadaan pasti Islam itu masih bertunang dengan UMNO dalam Muafakat Nasional – apa lagi yang mahu ditunggu?

Apakah UMNO dan BN mahu menuggu syarat dan “ugutannya” dalam Bajet 2021 tidak dipenuhi terlebih dulu baru mahu bertindak menjatuhkan Muhyiddin?

Bagaimana jika Muhyiddin mengalah dan sedia mengubahsuai Bajet 2021 sebagaimana dituntut oleh BN asalkan beliau terus kekal lagi sebagai Perdana Menteri?

Kemudian selepas itu, melalui kuasa dalam kawalannya dan orang-orang kanannya, Muhyiddin pun terus mengukuhkan kedudukannya dan membuli lagi UMNO dengan demi kelangsuan kuasanya.

Apakah ketika itu nanti UMNO dan BN tidak kisah lagi untuk terus berada di bawah kepimpinan Muhyiddin dalam kerajaan PN yang disifatkannya paling lemah dalam sejarah negara?

Muhyiddin mungkin boleh terus menebalkan mukanya dengan dianggap paling lemah atau apa sekali pun, tetapi yang penting baginya, beliau kekal sebagai pemegang dan pencatur kuasa.

UMNO pula, dengan kerusi terbanyak dan pemegang konsesi terbesar tetap kekal berada di bawah kepimpinan seorang Perdana Menteri yang dianggapnya paling lemah.

Ehhh…siapa yang sebenarnya yang paling lemah? (Shahbudindotcom 14/11/2020)