Mohamad Sabu, Husam berganding bahu majukan AMANAH, erat hubungan PH

 

Mohamad Sabu, Husam berganding bahu majukan AMANAH, erat hubungan PH

Kehebatan Datuk Husam Musa sebagai seorang yang berfikiran luas, strategik dan sentiasa fokus dalam gerak kerjanya diakui oleh kawan mahupun lawan, kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Menerusi catatan awalnya, Mohamad mengimbau kembali detik di mana Husam telah pun bersama dengannya dan berkecimpung di dalam Pas sejak Naib Presiden AMANAH itu keluar dari Universiti Malaya (UM).

Menurutnya, mereka sentiasa bertukar pandangan, berceramah sepentas dan merangka strategi Pas sehingga akhirnya bersama-sama membangunkan AMANAH.

“Apabila beliau berhasrat melepaskan jawatan, maka kami para pimpinan mencadangkan supaya beliau diberi peranan yang lebih besar iaitu sebagai penasihat kepada tiga biro penting iaitu Biro Pilihanraya, Komunikasi dan Strategi Parti yang akan memimpin roadmap pilihanraya AMANAH.

“Inilah tanggungjawab yang akan diserahkan kepada Datuk Husam bersesuaian dengan pengalaman dan kebolehan beliau.

“Saya dengan Datuk Husam akan sentiasa berganding bahu untuk memajukan AMANAH, mengeratkan hubungan dalam Pakatan Harapan (PH) dan memacu masa depan politik Malaysia dengan konsep Islam Rahmatal Lil Alamin,” Katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Husam pada minggu lalu dilapor telah menyerahkan peletakan jawatan kepada kepimpinan AMANAH selepas menyertai parti itu sejak Ogos 2016.

Peletakan jawatannya itu adalah bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada usaha memenangkan kerusi AMANAH di Kelantan khasnya di kawasan Parlimen Kota Bharu yang diketuainya.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menegaskan, segala dakwaan yang mengatakan peletakan tersebut disebabkan tidak berpuas hati dengan Presiden atau mana-mana pimpinan parti juga sama sekali tidak berasas.

No comments: