Pas mungkin dipinggirkan lebih teruk pada PRU 15 - Azan

 





Ketetapan demi ketetapan yang diambil dalam Muktamar Pas ke 66 di Pengkalan Chepa, Kelantan baru-baru ini tidak mungkin menutup kegelisahan ahli biasa parti itu yang melihat ada sesuatu yang tidak kena dalam langkah politik Pas menyertai Perikatan Nasional (PN).

 Tidak sebagaimana layanan baik yang diberi DAP kepada parti itu ketika mereka berkerjasama, pemimpin PN dan BN lebih senang meminggirkan terus Pas daripada memberi parti itu peluang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

 Pas yang masuk ke Sabah sejak 1986 dan tidak pernah tidak bertanding, dinafikan walau satu kerusi pun dalam PRN 2020.

 Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, tragedi di Sabah sewajarnya memberi pengajaran kepada pemimpin Pas agar bersedia menghadapi situasi yang lebih buruk.

 Jika pemimpin Pas masih leka dengan habuan politik, katanya, maka Pas akan menerima padah. Malah kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah pun akan dicerobohi oleh PN dan BN.

 "Apa yang berlaku di Sabah membuktikan Pas ini tak berubah dalam 50 tahun. Pas mudah terpengaruh sejak zaman Tun Razak (masuk kerajaan BN-Pas, 1971 -1978) sehinggalah zaman pemerintahan anaknya, Najib (Razak), Pas tak sedar mereka mudah terikut.

 "Nak gunakan Pas bukan mudah. Tetapi kalau kena cara dengan taburan wang, jawatan dalam GLC sehingga mereka terasa terhutang budi sampailah membawa kepada sekarang, makin teruk Pas dicucuk hidung.

 "Selama pilihan raya kecil sebelum ini Pas tidak diberi tempat sampailah dalam PRN Sabah. Mereka hanya digunakan untuk menunjukkan berlaku penyatuan Melayu, agama Islam.

 "Kita tengok parti sekecil Amanah dan parti kecil lain pun diberi tempat tetapi bukan pada Pas," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

 Oleh itu, kepada penyokong Pas, Azan menasihatkan agar tidak lagi terpedaya dengan laungan perjuangan Islam

 Perjuangan Pas yang mahu menegakkan Islam di Sabah dan mengekang pengaruh Kristian yang dibawa oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) suatu ketika dahulu telah kendur dan tidak lagi berbekas kepada pemimpin utamanya sehingga sanggup menyerahkan kerusi tradisi mereka kepada MCA dan PBS.

 "Sabah ini suatu testimoni menilai sikap pemimpin Pas yang dilihat kendur atau "menyerah diri" dan tak boleh berbuat apa-apa lagi di Sabah walaupun ramai orang Melayu di sana.

 "Kita nampak kedudukan Melayu yang dibawa Pas dipersendakan, RUU 355 pun tidak ke mana. Semua yang datang dari Pas mereka sanggup ketepikan isu itu walaupun berpuluh tahun dibawa dan diperjuangkan," katanya.

 Menurut Azan lagi, rakyat Malaysia seharusnya berhenti mempercayai Pas sebagai pembela Islam sebagai mana pada era Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dan Ustaz Fadzil Noor yang tegas menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan.

 

No comments: