PRN Sabah: Pertarungan 8 penjuru di DUN Matunggong

 


Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong merupakan salah satu kerusi sengit yang dipertandingkan oleh KEADILAN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

 Terletak di bawah Parlimen Kudat dan berada sejauh 137 km dari Kota Kinabalu, DUN Matunggong merupakan salah satu kerusi kuat KEADILAN, dengan 17,111 pengundi berdaftar di kawasan itu.

 KEADILAN pernah memenangi DUN Matunggong pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), apabila Jelani Dasanap meraih 6,947 undi dengan majoriti sebanyak 320 undi, sekali gus menewaskan empat calon lain di kawasan itu.

 Pada PRU-14, Sazalye Donol Abdullah bertanding sebagai calon DUN Matunggong namun namun tewas tipis apabila meraih 5,259 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Julita Majunki yang meraih 6,946 dengan 320 undi majoriti.

 Bagaimanapun dalam PRN Sabah 2020, peluang KEADILAN dilihat semakin cerah.

 Sazalye sekali lagi bertanding sebagai calon DUN Matunggong, namun akan bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN).

 Ini menyaksikan pertembungan antara penyandang kerusi, Julita dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dibawah PN dengan Richard Kastum yang mewakili Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dibawah BN.

 Kerusi DUN Matunggong turut dipertandingkan oleh Sarapin Magana selaku calon Parti Cinta Sabah (PCS) dan Hibin Masalin selaku calon Parti Gagasan.

 Tiga lagi merupakan calon Bebas iaitu Dr Paul Porodong, Ronald Tampasok dan Joseff Emmanuel.

 Pertembungan antara BN dan PN dalam satu kerusi sudah tentu akan menyebabkan berlakunya kekeliruan pengundi dan jelas menunjukkan bahawa kedua-dua gabungan parti kerajaan ini gagal mencapai kesepakatan sekaligus tidak sepatutnya diundi oleh rakyat.

 Tidak mustahil, undi pecah akan memihak kepada KEADILAN pada hari mengundi nanti.

 Senarai calon DUN Matunggong

 1. Dr Paul Porodong (Bebas)

2. Sarapin Magana (PCS)

3. Ronald Tampasok (Bebas)

4. Richard Kastum (BN-PBRS)

5. Joseff Emmanuel (Bebas)

6. Julita Mojungki (PBS)

7. Hibin Masalin (Gagasan)

8. Sazalye Donol Abdullah (PKR)