Guan Eng ingatkan Zuraida jangan sorok fakta projek PSPTB


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin agar tidak menyembunyikan fakta sebenar berhubung isu Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB).
Ini selepas Zuraida mendakwa tidak tahu menahu tentang projek tersebut sekaligus menuduh mantan Menteri Kewangan itu yang meluluskannya.
“Zuraida masih cuba menegakkan benang yang basah dengan menuduh bahawa sayalah yang meluluskan PSPTB pada 20 Februari 2019 tanpa pengetahuannya. Ini merupakan suatu perkara yang mustahil.
“Saya ingin tegaskan bahawa amalan biasa ialah Kementerian yangbertanggungjawab (iaitu KPKT) akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk mana-mana projek RT dijalankan.
“Justeru, semestinya akan ada surat daripada KPKT kepada MOF,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, surat permohonan KPKT kepada MOF telah dihantar pada 2018 oleh Ketua Setiausaha KPKT memandangkan projek itu melibatkan jumlah besar sebanyak RM170.3 juta.
“Tak mungkin KSU KPKP tulis surat rasmi kepada MOF tanpa pengetahuan Menterinya?” tegasnya.
Malah tambah Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, Zuraida sehingga kini gagal menafikan kewujudan surat permohonan daripada KSU KPKT tersebut.
“Ini jelas bermaksud memang ada surat permohonan daripada KPKT. Zuraida juga gagal mendedahkan sebarang surat kepada KPKT daripada MOF atau daripada saya.
“Saya berharap Zuraida janganlah sorok-sorok, sembunyikan fakta, menutup kebenaran atau lari daripada hakikat sebenarnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Guan Eng turut sekali lagi mengingatkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mendedahkan senarai projek RT yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional.
Beliau juga menggesa Zafrul untuk memperbetulkan fakta berkenaan 101 projek RT itu, kerana 95 peratus atau RM6.258 bilion nilai projek itu diwarisi daripada pemerintahan BN yang terpaksa diteruskan.



No comments: