Pengakuan Dr Noor Hisham Abdullah yang memberitahu pengurusan tinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak tahu mengenai skandal pengingkaran kuarantin Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali, agak mengejutkan.
Apa yang lebih menghairankan ialah siasatan dalaman terhadap beberapa kejadian selepas kepulangan menteri tersebut daripada lawatan ke Turki pada 7 Julai disorok daripada pihak umum.
Dalam sidang media semalam, Ketua Pengarah Kesihatan itu mengakui dia bersama timbalannya dan ketua jabatan penyakit berjangkit KKM tidak diberitahu mengenai perkara itu sehinggalah ia disiarkan dalam berita.
Noor Hisham berkata, dia mengarahkan siasatan dalaman untuk diadakan dan laporan penuh mengenainya sudah diterima.
Khairuddin menempa beberapa rekod politik baru sejak kebelakangan ini, termasuklah ‘menarik’ hampir 50,000 orang menandatangani petisyen dalam talian untuk mendesak dia meletakkan jawatannya sebagai menteri.
Apabila pelanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin oleh Khairuddin didedahkan Teresa Kok di parlimen pada Selasa lepas, ia menimbulkan kemarahan di seluruh negara.
Hal itu berpunca daripada penyebaran maklumat yang salah oleh Khairuddin apabila dia mendakwa kononnya lawatan itu diluluskan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Dia juga mendakwa terdapat satu “ujian saringan khas” untuk para menteri, dan orang kenamaan bagi membolehkan mereka ke luar dan masuk negara.
Juga dakwaan kononnya Turki berada dalam zon hijau semasa dia melawat negara tersebut sedangkan ia merupakan satu daripada pusat penularan utama wabak Covid-19.
Disebabkan semua perkara itu, satu petisyen dalam talian dibuat untuk mendesak Khairuddin meletak jawatan.
Petisyen itu pada mulanya mencatatkan sekitar 24,000 tandatangan sehinggalah perkembangan terkini diumumkan pada petang Sabtu lalu apabila KKM mengakui Khairuddin mengingkari SOP kuarantin Covid-19 pada 7 Julai.
Pada hari berkenaan juga KKM mengesahkan Khairuddin dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 pada 7 Ogos dan ia telah dibayar.
Kemarahan rakyat bertambah-tambah lagi selepas pengumuman itu.
Khairuddin jelas tersilap semasa membaca perasaan dan sentimen rakyat apabila dia mengeluarkan kenyataan memohon maaf dan “mendermakan” gajinya sebagai seorang menteri bagi tempoh Mei sehingga Ogos kepada Tabung Covid-19.
Khairuddin seakan-akan memberitahu bahawa wang mampu untuk menyelesaikan masalah perkara yang betul dan yang salah. Ia juga semakin mendedahkan jurang perbezaan layanan dua darjat rakyat Malaysia yang makin membesar.
Kenyataan perdana menteri yang dikeluarkan seminggu selepas segala dongeng Khairuddin dan alasan yang diberikan kerajaan jelas sekali tidak mencukupi untuk meredakan kemarahan rakyat.
Apakah perkara yang cuba disorok oleh Muhyiddin dan kerajaan di sebalik dapatan siasatan dalaman KKM ke atas pengingkaran SOP kuarantin Covid-19 Khairuddin itu?
Oleh itu, saya menyeru Muhyiddin untuk mendedahkan dapatan siasatan dalaman KKM berkenaan bagi membolehkan rakyat menilai keseluruhan skandal ini.
Lim Kit Siang
Veteran DAP/Ahli Parlimen Tanjung Puteri, Johor.