101 Projek: Kementerian Pengangkutan dahului senarai, beri tender dengan nilai terbesar RM4.47 bilion

101 Projek: Kementerian Pengangkutan dahului senarai, beri tender dengan nilai terbesar RM4.47 bilion
Menurut Tengku Zafrul, perolehan secara rundingan terus dibenarkan berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972). - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan mendedahkan senarai 101 projek yang dikatakan diberi secara rundingan terus (RT) sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan dahulu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kementerian Pengangkutan mendahulu senarai sebagai pemberi tender paling besar dengan nilai sebanyak RM4.47 bilion untuk empat projek.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia pula mendahului senarai sebagai pemberi projek paling banyak, iaitu sebanyak 12 projek dengan jumlah keseluruhan bernilai RM380.1 juta.

Menurut Tengku Zafrul, perolehan secara RT dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan, berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972) dan pekeliling-pekeliling perbendaharaan yang berkaitan.

“RT dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah satu atau lebih daripada syarat-syarat seperti - perolehan bekalan dan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak, yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara.

“Keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan (compatibility) antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang diperoleh; dan satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja,” kata beliau dalam kenyataan yang diedarkan pada Rabu.


No comments: