Amalan
politik di Malaysia melampaui batas etika serta tidak normal bagi negara yang
bertamadun.
Bagi Ahli
Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, politik seharusnya menjurus kepada
usaha membangunkan negara dan memberi kebajikan kepada rakyat. Bukannya membeli
Ahli Parlimen dengan mengagih-agihkan lantikan di Syarikat Berkaitan Kerajaan
(GLC), projek kepada kroni atau pun rasuah peruntukan kepada NGO-NGO ahli
politik.
Katanya,
Malaysia tidak akan menjadi negara maju sekiranya mengamalkan politik songsang
yang tidak bermaruah seperti hari ini.
"Amalan
politik bermaruah mesti diwajibkan. Isu-isu perkauman serta agama sempit patut
dikikis dari dunia politik. Tetapi malangnya negara kita masih dikongkong oleh
cara berpolitik kolot itu. Hanya pengamalan politik yang bermoral, beretika dan
berprinsip dapat membawa negara kita maju ke depan dan kesejahteraan rakyat
dijaga serta semangat muhibbah dipupuk untuk kebaikan semua lapisan masyarakat.
"Selain
itu, jika kita perhatikan, di negara demokrasi maju, pihak kerajaan dan
pembangkang saling bekerjasama untuk kebaikan semua tetapi cara berpolitik yang
matang seperti itu tidak berlaku di negara kita," katanya dipetik.
Bekas
Menteri Kesihatan itu menegaskan, politik tidak wajar ditandai dengan
permusuhan, sebaliknya terhad kepada perbezaan polisi dalam menguruskan negara.
Kerajaan
Perikatan Nasional (PN), ujarnya, wajar mengurangkan politiking ketika rakyat
'tercungap-cungap' dalam suasana ekonomi tidak menentu ketika ini ekoran
pandemik Covid 19 .
"Senario
politik tempatan masih penuh dengan sentimen 'permusuhan'. Ini bukanlah satu
perkara yang baik, di mana tumpuan penuh belum lagi diberikan untuk mengatasi
masalah pengangguran.
"Yang
perlu sekarang ialah semua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang bekerjasama
untuk membantu rakyat. Kita perlu memulakan satu program untuk melatih orang
yang telah hilang pekerjaan supaya mereka boleh menceburi bidang kerjaya lain
seperti kerja sebagai 'web-designer', 'web-marketing' dan sebagainya.
"Ini
adalah kerana pada zaman wabak Covid-19, aktiviti melalui on-line semakin
bertambah dan orang yang sudah kehilangan mata pencarian boleh menceburi bidang
itu setelah diberi latihan dalam kemahiran yang betul
"Oleh
itu aktiviti percaturan politik wajib dihentikan dengan serta-merta,"
katanya lagi.
Ketidakstabilan
politik Malaysia bermula apabila Menteri Kanan Azmin Ali melaksanakan Langkah
Sheraton menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari lalu.
Sejak
itu, kerajaan 'tebuk atap' PN sukar mengalihkan tumpuan daripada percaturan
politik, sehinggakan Dewan Rakyat turut digunakan sebagai pentas mengumumkan
data-data yang mengelirukan bertujuan untuk menghitamkan rekod pentadbiran PH
tanpa berani menerbitkan senarai penuh atau bukti kukuh apabila dicabar oleh
Pembangkang.