KKM siasat dakwaan elaun tak dibayar, kata Hisham


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jabatan kewangan kementerian sudah dihubungi dan siasatan sedang dijalankan terhadap dakwaan elaun pegawai perubatan tidak dibayar.
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat isu seorang pegawai perubatan di Hospital Sungai Buloh yang mendakwa tidak menerima sebarang peruntukan elaun sejak Mac.
Dalam sidang media hari ini Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jabatan kewangan kementerian itu sudah dihubungi dan siasatan sedang dijalankan.
Isu itu menjadi panas berdasarkan pendedahan 1 surat layang disiarkan sebuah portal tempatan berkaitan isu kesihatan, CodeBlue. Identiti pegawai perubatan yang menulis surat itu tidak didedahkan portal berkenaan.
Dalam surat itu, penulis mendakwa dia salah seorang pegawai perubatan yang dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada Mac susulan peningkatan kes Covid-19.
“Saya perlu membangkitkan isu ini kerana tiada siapa mendengar masalah kami melainkan ia menjadi tular. Dengan tidak menyatakan sesiapa, saya merujuk semua pengurusan, ketua, timbalan pengarah dan pengarah.
Dr Noor Hisham Abdullah
“Masalahnya, kami masih belum menerima elaun panggilan kerja malah elaun Covid-19 bagi bulan Jun. Kami masih belum menerima elaun perpindahan bagi bulan Mac,” kata penulis itu.
Surat itu turut menyatakan bagaimana semua pegawai perubatan terbabit dipindahkan sekali lagi ke hospital pilihan masing-masing pada Ogos.
Penulis itu turut mengeluh gaji lebih rendah diberikan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak, dengan mengatakan elaun perpindahan dan elaun panggilan bertugas menjadi perbezaan.
“Kami tidak kisah elaun Covid masuk lambat, tetapi sekurang-kurangnya bayar dahulu elaun pertukaran dan panggilan bertugas. Berapa ratus pun sangat bernilai.”
Mengulas perkara itu, Hisham berkata beberapa pegawai perubatan dimaklumkan yang tuntutan dibuat mereka tidak lengkap.
“Namun, kami masih perlu melihat butiran kes ini dan akan mempermudahkannya secepat mungkin.
“Ini tidak bagus bagi petugas kami di lapangan, terutama barisan depan,” katanya sambil memaklumkan kementerian kesihatan berusaha menangani masalah itu secepat mungkin.


No comments: