Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dicabar untuk mendedahkan senarai penuh mereka yang mendapat ‘nikmat istimewa’ berhubung pemberian 101 projek secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Ia menjadi kata sepakat di kalangan Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu turut membuat gesaan yang sama.
Atas ni apa pulak |
Tun Dr Mahathir berkata, pendedahan yang dilakukan Zafrul seolah-olah ingin menggambarkan bahawa proses rundingan terus adalah satu kesalahan dan tidak boleh dilakukan.
Menurutnya, rakyat berhak mendapatkan maklumat penuh tentang perincian projek bernilai RM6.61 bilion itu, terutama siapa yang mendapat nikmat tersebut.
“Sepatutnya Menteri Kewangan hendaklah dedah nama-nama mereka yang mendapat projek berkenaan supaya rakyat tahu siapa yang melakukan perbuatan ini.
“Kalaupun kata Tengku Zafrul bahawa projek rundingan terus ini adalah dibenar, tetapi pendedahannya seolah-olah ianya tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan telah berlaku.
“Ini semua timbul banyak soalan kerana rakyat berhak dapat maklumat penuh tentang siapa yang dapat, projek di mana, nilai-nilai projek ini. Supaya kita dapat tentukan siapa yang mendapati nikmat istimewa ini,” katanya dalam satu muatnaik video di Facebook rasminya.
Pada Isnin, Tengku Zafrul dalam sidang Dewan Rakyat memberitahu, Kementerian Kewangan yang diterajui Lim Guan Eng sebelum ini telah meluluskan 101 projek bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.
Sementara itu, Lim Guan Eng bersama bekas Menteri Kabinet PH dalam satu sidang media semalam turut menyatakan pendirian sama dan mencabar Tengku Zafrul untuk mendedahkan syarikat-syarikat yang mendapat tender berkenaan dan Menteri mana yang memohon secara rundingan terus.
“Kalau dia (Zafrul) nak buat tuduhan, bagi bukti dan fakta,” katanya.