Gerakan Reformasi selepas 20 tahun
tidak hanya terhad kepada memperjuangkan perubahan politik, sebaliknya NGO
reformis giat membantu rakyat, terutama ketika menghadapi pandemik Covid 19 dan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Setiausaha Agung Jingga 13,
Afzainizam Rahman, sepanjang PKP lalu banyak NGO reformis mengambil
tanggungjawab menghantar bekalan keperluan harian sebagai khidmat sosial kepada
golongan memerlukan.
Katanya, NGO Jingga 13 juga tidak
terkecuali menggerakkan jentera di seluruh negara membantu rakyat yang
menghadapi detik-detik sukar terputus bekalan makanan ketika itu.
"Dalam Jingga 13 Malaysia, kami
bermuafakat mengumpul dana untuk membantu rakyat sewaktu PKP. Semasa bulan Mac
lalu koordinator negeri arahkan kami bergerak rapat dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) dan pejabat-pejabat DUN untuk menyampaikan sumbangan.
"Sukarelawan amat kurang waktu
itu kerana banyak syarat dan peraturan yang perlu diikuti orang awam. Nak
keluar rumah perlu ada surat. Jadi kami NGO berdaftar maka JKM keluarkan surat
khas kepada kami untuk merentas negeri atau daerah.
"Oleh itu kita berjaya
menghantar bantuan makanan. Ambil contoh Johor, Jingga di bawah pimpinan
saudara Zabidi, bekas pemimpin Angkatan Muda KEADILAN, juga Jaafar. Mereka berinisiatif
menulis surat kepada wakil rakyat untuk mendapatkan bajet. Jika tidak cukup
mereka tambah duit sendiri. Di Pahang, sukarelawan Jingga juga berinisiatif
ambil bekalan bantuan dari Kuala Lumpur.
"Selain bergerak dalam
reformasi, kita juga perlu lakukan kerja-kerja kebajikan. Bila kita lakukan
kerja seperti itu rakyat akan lihat reformis boleh lakukan banyak
perkara," katanya dalam forum anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru
ini.
Afzainizam juga menasihatkan para
reformis di seluruh negara agar masuk ke mood berkempen selepas PKP
dilonggarkan, memandangkan Pilihan Raya Umum ke 15 mungkin diadakan secara
mengejut.
Menurut beliau lagi, kempen di negeri
Selangor mungkin tidak sesukar mana kerana rakyat maklum polisi berkebajikan
kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Namun, bagi reformis di negeri-negeri
lain Afzainizam menyarankan agar mereka memberitahu masyarakat tentang kebaikan
pemerintahan PH di Selangor yang boleh dilaksanakan di tempat mereka sekiranya
gabungan itu diberi peluang memerintah.
"Banyak keistimewaan yang
diberikan kerajaan Selangor, misalnya air percuma, kad kesihatan dan
sebagainya. Ramai yang gembira dan polisi kebajikan ini boleh dikempenkan
keluar.
"Dulu orang kata tak mungkin Selangor boleh buat. Tetapi
kita buat selepas kurangkan ketirisan. Bila kita jimatkan, kita boleh salurkan
kepada rakyat. Dan di negeri lain pun hal ini boleh dilakukan," katanya
lagi.