Dalam konteks bekerjasama dengan lain-lain parti untuk menghadapi PRU akan datang, apakah pilihan yang terbaik buat UMNO?
Apakah bekerjasama dengan Pas melalui MN sudah merupakan pilihan yang mampu membolehkan UMNO kembali berkuasa dan menduduki semula kerusi Perdana Menteri?
Adakah dengan menjemput Bersatu menyertai MN suatu pilihan yang lebih baik buat UMNO atau ia hanya akan menjadikan percakaran sesama sendiri UMNO-Pas-Bersatu semakin sukar dielakkan?
Persoalan-persoalan ini bukan saja menjadi perbualan tanpa kesudahan di luar UMNO, malah di dalam UMNO dan di kalangan pemimpinnya sendiri pun tidak habis-habis mereka berbicara memperkatakannya.
Tidak dinafikan bahawa kerjasama UMNO dengan Pas sebenarnya sudah cukup baik dan mampu membolehkan MN memperolehi kuasa selepas PRU akan datang.
Kemenangan dalam beberapa PRK sebelum ini adalah bukti nyata hakikat tersebut.
Kalau perlu pun diusahakan lagi ialah membantu MCA dan MIC meningkat dan mengembalikan keyakinannya di kalangan pengundi bukan Melayu agar MN, kalau ditakdirkan berkuasa nanti, benar-benar mewakili komposisi rakyat Malaysia seluruhnya.
Pilihan UMNO untuk tidak menyertai PN yang ditaja oleh Muhyiddin Yassin dan hanya akan berada dalam PN sehingga habis penggal Parlimen PRU14 juga adalah keputusan yang tepat demi untuk memastikan kerusi Perdana Menteri kembali menjadi milik UMNO.
Jika UMNO menyertai PN, sudah tentulah ia terpaksa bersetuju mengekalkan lagi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk suatu tempoh yang lebih lama.
Cuma, meski Pas dikira rakan terbaik buat UMNO, masalah parti itu ialah ia kurang setia dan mudah rambang mata.
Lihat saja bagaimana keadaannya sekarang, sementara ia sudah ada jalinan ikatan dengan UMNO melalui MN, Pas nampaknya lebih cenderung kepada Bersatu dan Muhyiddin sejak kebelakangan ini.
Malah Pas juga setuju menjadi jawatankuasa penaja untuk Muhyiddin mendaftarkan PN secara sah.
Setujunya Pas bersama PN dilihat seolah-olah ingin membantu Bersatu dalam perolehan kerusi buat parti itu yang sebelum ini ia hanya melibatkan pengagihan antara UMNO dan Pas saja.
Tetapi, Pas tiada cita-cita untuk jadi Perdana Menteri dan Hadi Awang pun sedar beliau tidak mampu memikul tugas tersebut.
Dalam hal ini, kiranya UMNO setuju untuk Pas terus kekal berkuasa di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta kerusi-kerusi Parlimen yang dimenanginya sekarang, terutama enam daripada lapan kerusi Parlimen yang ada di Terengganu, terus diperuntukkan kepada mereka, rasanya tiada masalah untuk Pas kembali setia sepenuh jiwa raga kepada UMNO dan MN.
Namun, dalam konteks UMNO, untuk apa berkongsi kerusi dengan Bersatu jika gabungan mereka dengan Pas sudah mampu selesa?
Mungkin kehadiran Bersatu tidak begitu menjejaskan Pas, tetapi sebagai rakan kongsi UMNO, Pas sepatutnya tahu ia akan menimbulkan masalah besar buat UMNO.
Masalah paling utama pastinya berkaitan kerusi-kerusi yang dipegang Kumpulan Hamzah Zainuddin yang menang atas tiket UMNO dalam PRU14 lalu, tetapi kemudian melompat menyertai Bersatu.
UMNO berkeras ingin mengambil kembali semua kerusi tersebut, tetapi Muhyiddin tentu mahukan ia menjadi milik Kumpulan Hamzah yang sekarang menjadi pendokong kuatnya.
Dalam hal ini, jika tiada Bersatu dalam soal pengagihan tersebut, bukankah ia lebih mudah buat UMNO, tidak saja untuk bertanding, malah untuk memenanginya dengan bantuan serta kerjasama daripada Pas?
Selain itu, dengan adanya Bersatu juga, hasrat UMNO untuk kembali merebut kerusi Perdana Menteri akan terhalang dengan sendirinya.
Jadi, apa relevannya Bersatu kepada UMNO?
Sebenarnya, Bersatu langsung tidak relevan kepada MN kerana bukan MN yang memerlukan Bersatu, tetapi Bersatulah yang jauh lebih memerlukan MN untuk menjamin kelangsungan hayat politik Muhyiddin.
Maka, senang cerita, lebih baiklah UMNO lupakan saja Bersatu sebagai rakan kongsi untuk menghadapi PRU15 akan datang.
Kehadiran Bersatu lebih banyak menyusahkan UMNO daripada menguntungkannya.
Lagi pula, dengan Muhyiddin dicop sebagai pengkhianat kepada Tun Mahathir Mohamad dan PH, Hamzah Zainuddin khianat kepada UMNO dan Azmin Ali pula khianat kepada PKR, Anwar Ibrahim dan PH, bergabungnya semua mereka itu dalam satu kumpulan telah menjadikan Bersatu sebuah parti toksid yang lebih baik dijauhi daripada didekati.
(Shahbudindotcom 26/08/2020)