Pakatan Harapan (PH)
mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang
membuka kertas siasatan berhubung 101 projek rundingan terus yang bernilai
RM6.61 bilion.
Namun bagi bekas Menteri
Kewangan, Lim Guan Eng, siasatan SPRM mestilah dijalankan dengan adil dan tidak
dijadikan sebagai alasan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak
mendedahkan senarai penuh projek tersebut.
"Tidak ada masalah jika
SPRM mahu menjalankan kajian menyeluruh ke atas 101 projek rundingan terus
bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan PH sekiranya
SPRM menjalankannya secara adil dan profesional.
"Lagipun kajian SPRM tidak
harus diperalatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menghalang prinsip
akauntabiliti dan ketelusan, dengan menggunakan kajian SPRM sebagai alasan
untuk enggan mendedahkan senarai penuh projek dan syarikat penerimanya,"
katanya dalam kenyataan.
Guan Eng yang juga Ahli
Parlimen Bagan turut meluahkan rasa bimbang sekiranya SPRM bersikap berat
sebelah kerana tidak melakukan siasatan yang sama kepada kerajaan PN, ataupun
ketika zaman Barisan Nasional (BN).
"Kami risau akan wujud
masalah "antara dua darjat" di mana kajian SPRM hanya dijalankan ke
atas projek runding terus PH dan tidaknya ke atas projek di zaman BN dan PN.
"Kegagalan SPRM membuat
kajian ke atas projek runding terus kerajaan BN dan PN boleh menimbulkan
persepsi negatif "antara dua darjat" atau double standard.
"Kemelut "antara dua
darjat" menjadi kontroversi, di mana Menteri Perusahaan Perladangan dan
Komoditi melanggari kuarantin kendiri selama 14 hari dan dikompaun
"manja" hanya RM1,000, sedangkan mak cik warga emas berumur 72 tahun
dihadapkan ke mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara 1 hari.
Semoga SPRM boleh membuktikan
bahawa mereka tidak menjadi senjata politik mana-mana pihak dengan turut
menjalankan kajian menyeluruh terhadap PN dan BN, sama ada wujud unsur-unsur
rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara ini,"
katanya.
Guan Eng juga menjelaskan
bagaimana projek runding terus ketika zaman PH dibuat hanya dengan pengecualian
tertentu seperti masa krisis atau bencana alam, isu berkepentingan nasional dan
melibatkan keselamatan negara (Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja
Malaysia) dan kepakaran khusus (one of a kind).
"Projek rundingan terus
dibenarkan dalam keadaan banjir ataupun penyakit COVID-19 dan untuk
menyegerakan kerja pemulihan dan penyelamatan, ataupun membeli suatu produk
tersendiri dan khusus seperti Microsoft Word Office, di mana tender terbuka
tidak boleh dijalankan.
"Contohnya, Feri Pulau
Pinang yang menghentikan perkhidmatan buat kali pertama sejak beroperasi 126
tahun. Projek rundingan terus boleh diluluskan dalam keadaan ini untuk
memulihkan perkhidmatan feri dengan segera," katanya.
Guan Eng sekali lagi menegaskan
bahawa PH masih berpegang kepada janji Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14) berhubung projek runding terus.
"Sememangnya Kementerian
Kewangan PH mengamalkan sistem tender terbuka selaras dengan Manifesto PRU yang
menyatakan dalam Janji 23,"Kami akan memastikan sistem tender terbuka
digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar".
"Dalam kata lain, tender
terbuka adalah asas perolehan tetapi dalam keadaan perlu, pengecualian boleh
diberikan kepada projek rundingan terus. Itulah sebabnya peratusan projek
runding terus sebanyak RM6.6 bilion ini hanya 1.4% daripada nilai keseluruhan
perolehan di bawah PH.
"Biar bicara fakta. Berani
kerana benar. Amar makruf nahi mungkar," katanya.