_KENYATAAN MEDIA MAJLIS SETIAUSAHA PAKATAN HARAPAN_



Jumaat, 26 Jun 2020

Kerajaan Malaysia mesti lebih agresif dan berani menjamin pekerjaan di tengah kemerosotan ekonomi

Kemerosotan ekonomi semakin memburuk. Berdasarkan angka terkini Jabatan Statistik Malaysia, kadar pengangguran telah melonjak dari 3.2% pada bulan Januari kepada 5.0% pada April 2020. Ini adalah kadar pengangguran bulanan paling buruk dalam tempoh lebih sepuluh tahun. Ia akan kian meningkat dengan bertambahnya pemberhentian pekerja oleh syarikat-syarikat sepanjang bulan Mei dan Jun.

Kadar 5.0% (bersamaan hampir 800,000 orang) adalah sangat tinggi. Malangnya, kadar ini tidak menekankan masalah yang sedang kita hadapi. Akibat teknikaliti dalam pengiraan angka tersebut, sekurang-kurangnya dua kelompok tidak termasuk dalam kadar pengangguran 5.0% ini:

● Pertama, 4.9 juta individu yang tidak dimasukkan ke dalam kiraan. Standard yang digunakan Jabatan Statistik dan panduan yang disediakan International Labour Organisation (ILO) mengklasifikasikan kumpulan individu ini sebagai bekerja kerana mereka diandaikan mempunyai pekerjaan untuk kembali semula pada masa akan datang. Namun bersalahan dengan jangkaan ini, tiada jaminan sebenar bahawa pekerjaan tersebut akan terus wujud. Supaya risiko ini diberi perhatian, kalau pun 10% daripada kelompok ini kehilangan pekerjaan mereka, maka kadar pengangguran akan bertambah dua kali ganda berbanding angka April 2020.

● Kedua, 161,000 orang yang telah terkeluar daripada pasaran kerja dan atas sebab itu mereka dikira menganggur oleh Jabatan Statistik. Ramai antaranya yang boleh disebut sebagai telah hilang semangat. Dengan kata lain, mereka telah berputus asa mencari pekerjaan.

Keanehan dalam mengira kadar pengangguran pada saat yang begitu tidak menentu memungkinkan kita meremehkan ketegangan dalam pasaran kerja. Justeru itu, kerajaan mesti mengambil pendekatan yang lebih bersifat pencegahan terhadap data tersebut dan bertindak lebih agresif dalam menangani kemerosotan ekonomi ini, daripada segi menjamin pekerjaan serta menyokong penghasilan peluang pekerjaan baharu.

Perluas sektor kesihatan dan sistem pendidikan awam

Melampaui pemindahan tunai dan bantuan sosial yang diperlukan untuk jangka masa pendek, ketersediaan peluang pekerjaan berkualiti adalah penting dalam membina asas ekonomi yang kukuh bagi memulihkan ekonomi dan mengekalkan standard kehidupan seluruh rakyat Malaysia.

Memandangkan pekerjaan dalam sektor swasta kian menghilang dalam kemerosotan ini, Pakatan Harapan percaya bahawa kerajaan mesti memainkan peranan yang lebih besar dalam mencipta peluang pekerjaan baharu, terutamanya dalam sektor awam.

Kami mencadangkan supaya sektor kesihatan dan pendidikan awam diperluaskan dalam tempoh dua tahun akan datang. Sementara peluasan ini akan memperkukuh sistem kesihatan dan menyediakan peluang pendidikan tambahan untuk lebih ramai rakyat Malaysia, ia juga akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, di saat sektor swasta sedang membuang pekerja. Jika dilaksanakan, cadangan ini membolehkan pengambilan jururawat, doktor, guru, pembantu makmal, pembantu pengajar, pensyarah dan penyelidik; antara lainnya.

Perlu berani

Dua cadangan ini adalah antara beberapa cadangan besar yang boleh dilaksanakan kerajaan. Banyak yang boleh dilakukan dengan cepat. Contohnya, kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini ada merancang untuk melancarkan program Malaysia@Work pada suku kedua 2020. Program insentif gaji dan pengambilan kerja ini dapat menghasilkan 350,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun untuk rakyat Malaysia. Memperluaskan program ini dengan melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan seperti yang dinyatakan tadi akan membantu menghasilkan peluang pekerjaan tambahan yang berkualiti.

Pada saat kemerosotan ekonomi yang dahsyat seperti ini, kerajaan mempunyai peranan unik untuk menstabilkan ekonomi dan memelihara kebajikan orang ramai. Covid-19 sedang mendefinisi semula peranan kerajaan. Normal baharu menuntut kerajaan beralih arah dan bersikap berani mencuba pendekatan-pendekatan dan idea baharu yang sebelum dirasakan tidak boleh dilakukan. 

Kerajaan perlu melakukan apa termampu demi menjamin dan mencipta pekerjaan bagi melindungi mata pencarian rakyat Malaysia pada waktu sukar ini. Adalah lebih penting untuk nenangani masalah ini dan membuat keputusan tegas untuk menyelesaikannya berbanding berspekulasi tentang pilihan raya mengejut. Kegagalan untuk bertindak tegas akan meninggalkan parut ekonomi serta kesan jangka panjang terhadap kualiti kehidupan seluruh rakyat Malaysia. 

YB DS Shamsul Iskandar  
Mohd Akin
Parti Keadilan Rakyat
(KEADILAN)

YB Datuk Dr Hatta Ramli
Parti Amanah Negara
(AMANAH)

YB Liew Chin Tong
Parti Tindakan Demokratik 
(DAP)

No comments: