ADAKAH ANWAR TIDAK SABAR DAN TERGESA-GESA?


Ada beberapa pihak berpendapat tindakan Anwar Ibrahim terlalu kerap bercakap mengenai peralihan kuasa dan hal-hal berkaitan dengannya lebih menunjukkan beliau seorang yang tidak sabar dan tergesa-gesa mahu menjadi Perdana Menteri.
Kata mereka, tindakan itu tidak sepatutnya ditunjukkan oleh Anwar kerana Tun Mahathir Mohamad sudah pun berjanji untuk tidak mungkir janji berhubung penyerahan kuasa itu.
Tambah mereka lagi, dalam tempoh masa sekitar dua tahun sebelum peralihan kuasa itu menjadi kenyataan, Anwar hanya perlu bersabar, bertenang dan tidak menunjukkan sikap yang sebaliknya.
Tetapi, benarkah Anwar seorang yang tidak sabar dan tergesa-gesa mahu menduduki kerusi Perdana Menteri?
Jika diteliti, soal peralihan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar adalah janji yang telah dipersetujui dalam PH dan tidak sepatutnya dimungkiri.
Namun, sebagaimana yang kita sedia maklum dan selalu baca di dada-dada media, pendirian Tun Mahathir mengenai tempoh peralihan kuasa itu juga sering berubah-ubah.
Dalam beliau sehingga ini tetap mengatakan akan mengotakan janji menyerahkan jawatan kepada Anwar, tempoh yang selalu disebutnya tidak pernah sama.
Mula-mula Tun Mahathir mengatakan akan memegang jawatan Perdana Menteri hanya selama dua tahun saja, kemudian bertukar sedikit dengan menyebut, “mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang”.
Selepas itu, beliau menunjukkan perbezaan lagi dengan meluahkan keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri selama dua tahun setengah sambil mengusik Presiden PKR itu dengan kata-kata, “kalau Anwar beri izin, dapatlah saya jadi Perdana Menteri selama dua tahun setengah”.
Baru-baru ini pula Tun Mahathir mengatakan beliau mungkin memerlukan tempoh tiga tahun sebagai Perdana Menteri.
“Saya tidak tahu, mungkin dua tahun, mungkin tiga tahun, tapi saya adalah Perdana Menteri sementara,” katanya.
Pokoknya, kenapa Tun Mahathir sering berubah-ubah nada?
Jika diumpamakan tempoh dua tahun untuk peralihan kuasa itu seperti tempoh bertunang bagi pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga, selepas setahun berlalu sepatutnya sudah ada rundingan untuk menetapkan majlis persandingan.
Jika masih tiada tarikh yang ditetapkan dan pihak lelaki pula asyik berdalih-dalih berhubung majlis perkahwinan, bukanlah suatu kesalahan jika pihak pengantin perempuan mula ada kecurigaan terhadap pasangannya.
Kecurigaan hanya akan terhapus dan perkahwinan benar-benar akan menjadi kenyataan jika bakal pengantin lelaki tidak takut atau bertangguh-tangguh untuk menetapkan tarikh perkahwinan.
Begitu juga dalam kes peralihan kuasa ini, selain perkara itu juga kerap ditanya media, tidak menjadi kesalahan langsung sebenarnya untuk Anwar terus menyebut mengenainya selagi Tun Mahathir sendiri tidak menetapkan tarikhnya untuk berundur dan menyerahkan kuasa.
Kalau tidak mahu Anwar bercakap lagi, lebih baiklah Tun Mahathir, dalam usianya sudah mencecah 94 tahun sekarang, cepat-cepat memilih tarikh untuk peralihan jawatan itu.
Lagi pun, kalau dengan Tun Abdullah Badawi pada 2003 dulu, beliau tiada masalah memilih sendiri tarikh pengundurannya, kenapa sekarang susah sangat berbuat demikian? (Shahbudindotcom 18/05/2019)

No comments: