Zahid berundur, Umno masih tiada hala tuju
Meskipun Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden Umno kepada timbalannya, Mohamad Hassan, akar umbi parti itu percaya wakil rakyat parti itu akan tetap berpaling tadah.
Mereka juga berpendapat, wakil rakyat berkenaan mempunyai agenda tersendiri dan tidak hanya berbuat demikian kerana menolak kepemimpinan Zahid.
Beberapa ahli Umno memberitahu The Malaysian Insight, isu Zahid menjadi orang nombor satu parti hanya satu alasan semata-mata untuk keluar parti.
“Mungkin mereka ada agenda. Saya tidak percaya sebab Zahid jadi presiden Umno, mereka keluar parti,” kata Rahmah Hitam, seorang ahli Wanita Umno Putrajaya.
Beliau kesal kerana pemimpin berkenaan keluar parti sedangkan ahli di peringkat akar umbi sepertinya yang giat berkempen semasa pilihan raya tetap setia walau Umno tewas.
“Kita peringkat akar umbi kita tak berpaling (tadah). Saya kecewa sangat semua yang keluar parti. Kami yang buat kerja bersusah payah cari pengundi. Mereka buat macam ini,” katanya.
Lima lagi ahli Parlimen Umno umum keluar parti 14 Disember lalu menjadikan parti itu hanya menguasai 37 kerusi di Dewan Rakyat, daripada 54 kerusi yang dimenanginya pada 9 Mei.
Secara keseluruhan, Barisan Nasional kini mempunyai 40 kerusi di Dewan Rakyat, dengan dua disandang MIC dan satu MCA.
Dalam pada itu, seorang ahli Umno bahagian Pokok Sena, Ramli Chik pula menjangka lebih ramai lagi ahli Parlimen akan meninggalkan parti keramat itu.
Beliau percaya wakil rakyat berkenaan meninggalkan parti demi kepentingan diri dan bukannya sebagai bantahan ke atas Zahid.
“Zahid ini alasan saja. Lepas ini, Zahid akan bercuti, serahkan tugas kepada (timbalan presiden Mohamad). Puak yang pergi kerajaan itu kekal (pergi) juga sebab mereka berkepentingan.
“Zahid hanya digunakan sebagai alasan nak kaburkan mata rakyat, mata ahli-ahli Umno. Kepentingan berada di depan mereka,” katanya.
Seorang ahli Majlis Tertinggi, Dira Abu Zahar juga tidak percaya bahawa Zahid merupakan sebab wakil rakyat berkenaan keluar parti kerana presiden parti itu terpilih dalam pemilihan parti.
Adakah kerana keadaan begitu (Zahid jadi presiden)? Tapi kita harap keadaan akan jadi lebih baik dan tiada lagi lompatan-lompatan ini khususnya di kalangan ahli Parlimen,” kata bekas pelakon itu.
Beliau berharap perkara sebaliknya akan berlaku kelak memandangkan Umno diketuai pemimpin baharu yang akan menjalankan tugas presiden.
Namun bagi penganalisis sosiopolitik Awang Azman Awang Pawi, penyerahan tugas presiden kepada Mohamad tetap tidak akan dapat menyelamatkan Umno.
“Hal ini kerana terdapat ahli Parlimen dan Adun Umno sendiri tidak ada ketahanan diri, mudah putus asa kerana mereka sendiri tak ada hala tuju walaupun menuduh presiden Umno tak ada hala tuju,” katanya.
Beliau melihat wakil rakyat berkenaan lebih berminat menjaga kepentingan diri dan bimbang akan turut diheret ke mahkamah jika kekal dengan Umno.
“Ramai antaranya berasa terancam kerana bimbang disiasat atau diberikan tekanan oleh pihak kerajaan Pakatan Harapan jika masih bersama Umno,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambahan pula, kedudukan kerana Umno tidak lagi mewah selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14, katanya.
“Kemewahan bersama Umno ketika Umno menjadi pemerintah tak wujud lagi. Tidak ada kedudukan, kuasa dan sumber kewangan yang semakin terbatas,” katanya.
Sementara itu, Prof Madya Jeniri Amir mengibaratkan Umno sebagai kapal yang sedang karam dan menunggu masa untuk musnah.
Tiada cara lain untuk menyelamatkan parti itu walaupun setelah Zahid menyerahkan tugas presiden itu kepada Mohamad, kata pensyarah Universiti Malaysia Sarawak itu.
Katanya, pemimpin berkenaan pastinya lebih berminat menyertai parti kerajaan seperti PKR dan Bersatu.
“Semua tikus (wakil rakyat) melarikan diri. Walaupun Zahid berundur dan menyerahkan tugas itu kepada Mohamad, tidak ada cara dia dapat menghentikan kapal dari tenggelam.
“Ada kapal lain yang lebih menarik. Saya merujuk kepada PKR dan Bersatu,” katanya yang menjangkakan lebih ramai lagi akan keluar Umno.