Walaupun terdengar ada yang kurang senang dengan warkah bertajuk "Pesanan Kepada PH" yang ditulis oleh Rafizi Ramli, termasuk mengaitkan dengan kekalahannya kepada Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR baru-baru ini, semua pihak dalam Pakatan Harapan seharusnya berlapang dada menerima apa yang ditulisnya itu.
Beberapa dapatan beliau termasuk mengenai kegelisahan rakyat terhadap kos sara hidup, janji manifesto yang belum ditunaikan dan rating Tun Mahathir Mohamad yang menurun sebanyak 20 peratus sejak Jun lalu, sebenarnya adalah realiti yang boleh didengar di mana-mana saja ketika ini.
Dengan mempersembahkan semua hakikat itu, di sebalik mungkin ada pemimpin Pakatan Harapan yang lain sama menyedarinya tetapi tidak berani memperkatakannya kerana masing-masing sudah ada jawatan dan kedudukan yang mahu dijaga atau barangkali juga tidak sedar berkenaan dengannya kerana sibuk dengan urusan kerajaan, tindakan Rafizi bolehlah juga diberikan pujian.
Tulisan beliau adalah untuk kebaikan Pakatan Harapan dan bagaimana mereka boleh menjadikannya sebagai panduan untuk memperbaiki lagi kerajaan yang ada.
Pakatan Harapan tidak boleh lagi seperti era BN dahulu yang memandang sepi semua dapatan tidak memihak kepadanya, apa lagi jika didapati mengaitkan dengan penurunan prestasi atau rating Najib Razak.
Tetapi, akibat daripada semua itu, lihatlah apa yang berlaku kepada BN yang mana akhirnya pemimpin mereka sendiri ketika ini seperti tidak dapat menerima realiti sudah ditolak rakyat.
Semua teguran dan dapatan Rafizi ini harus diambil positif jika tidak mahu yang berlaku kepada BN berulang kembali menimpa Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan bukanlah kebal dan Tun Mahathir juga tidaklah maksum. Meskipun agak cemerlang ketika 22 tahun membangunkan negara sebelum ini, realitinya kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri ketika ini adalah berbeza dengan ketika bersama UMNO dan BN dahulu.
Dua faktor kegelisahan rakyat iaitu kos sara hidup yang dijanji akan diturunkan tetapi belum nampak bayangnya lagi serta janji-janji manifesto PRU14 yang masih banyak tersangkut adalah sesuatu yang harus diakui.
Alasan beban hutang yang ditinggalkan pentadbiran Najib dahulu tidak seharusnya dijadikan sandaran selama-lamanya untuk melengah-lengah atau tidak melaksanakan janji yang telah dilafazkan sebelum rakyat membuang undi itu.
Kekangan yang dihadapi seharusnya menjadikan kerajaan lebih kreatif dan berusaha keras dalam menjalankan tugas. Rakyat mahukan hasil, bukan alasan.
Oleh itu, pesanan Rafizi mestilah diterima dan dihadam dengan hati yang terbuka, terutama berkaitan rating Tun Mahathir yang menurun sebanyak 20 peratus. Jika dengan masa berlalu seterusnya masih banyak lagi janji gagal ditunaikan, tidak mustahil rating Tun Mahathir akan terus menurun lagi dan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan turut sama tidak diyakini.
PRU14 menunjukkan kematangan rakyat dalam memilih kerajaan. BN yang ketika itu diselubungi imej buruk Najib telah ditolak oleh rakyat kerana mereka sedar jika kerajaan sama dikekalkan lagi, keadaan negara pasti akan bertambah buruk, meskipun jasanya selama 61 tahun amat dihargai.
Episod menukar kerajaan sudah pun selesai. Rakyat, tidak kira penyokong Pakatan Harapan, penyokong BN atau berkecuali, ketika ini sama-sama sedang memerhati dan meneliti prestasi kerajaan yang ada ini.
Yang demikian, apa juga pandangan, lebih-lebih lagi yang negatif, tidak memihak atau yang menyebabkan sakit telinga mendengarnya, jangan sesekali dibuang ke tepi begitu saja.
Ia harus diterima dengan hati yang terbuka. Selagi ada yang sudi menegur dan mendedahkan keburukan, lebih-lebih lagi jika dalam kalangan Pakatan Harapan sendiri, itu tandanya mereka masih ada keikhlasan dan rasa sayang kepada kerajaan ini.
Berbanding dengan mereka yang hanya tahu memuji dan melambung yang baik-baik saja, golongan ini bukan sekadar belum tentu ada kejujurannya, yang terselindung di sebaliknya semua itu sebenarnya hanyalah ganjaran, kontrak, jawatan serta kedudukan untuk diri sendiri semata-mata.
Lebih ramai yang tidak takut bersuara seperti Rafizi, seharusnya lebih dialu-alukan dalam era Malaysia Baru ini. (ShahbudinHusin 20/12/2018)