INILAH MASANYA TUN M WAJIB MEMBUKTIKAN KATA-KATANYA DENGAN PERBUATAN



Benarkah Tun Mahathir Mohamad tidak suka majoriti dua pertiga?

Benarkah juga beliau mahu pembangkang yang kuat untuk mengimbangi kerajaan yang dipimpinnya?

Jika begitu, bolehkah Tun Mahathir segera membuat pengumuman bahawa Pakatan Harapan dan Bersatu tidak akan menerima kemasukan mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti baru-baru ini?

Mereka yang keluar UMNO itu, biarkan saja mereka jadi Ahli Parlimen Bebas sehingga habis penggal ini.

Seterusnya, jika benar juga tidak suka majoriti dua pertiga dan mahu pembangkang yang kuat sepertimana yang diucapkannya itu, bolehkah Tun Mahathir dengan segera membentangkan undang-undang anti lompat parti di Parlimen?

Undang-undang berkenaan bukan saja pastinya akan mendapat sokongan daripada PKR dan DAP jika dibentangkan di Parlimen, malah pembangkang seperti UMNO dan Pas tentu tiada halangan sama untuk menyokong perlaksanaannya.

Oleh itu, tidak guna sekadar berkata saja tidak suka majoriti dua pertiga dan mahu pembangkang yang kuat semata-mata, tetapi tidak berani membuktikannya dengan tindakan atau melalui kuasa yang ada, malah berdalih kononnya demokrasi membenarkan lompat parti dan sebagainya.

Tindakan itu pula mudah saja - pertama, keluarkan kenyataan tidak akan menerima kemasukan mereka yang mahu melompat dan kedua, segerakan perbentangan undang-undang anti lompat parti di Parlimen.

Demi semangat Malaysia Baru, Tun Mahathir tiada pilihan lagi, inilah masanya beliau wajib membuktikan segala kata-katanya itu dengan tindakan serta perbuatan yang nyata. (ShahbudinHusin 20/12/2018).

No comments: