SPEKULASI HUBUNGAN TUN MAHATHIR DAN ANWAR BOLEH DIREDAKAN DENGAN DUA TINDAKAN INI




Kecuali dirinya sendiri, tidak ada sesiapa yang lain yang betul-betul pasti apa yang ada dalam hati dan pemikiran Tun Mahathir Mohamad tentang peralihan kuasa daripada beliau kepada Anwar Ibrahim.

Tun Siti Hasmah Mohd Ali, pegawai-pegawai Tun Mahathir atau pimpinan Bersatu, semuanya pun tidak tahu apa perancangan sebenar Tun Mahathir mengenai perkara itu.

Cuma tidak pasti sama ada Tun Daim Zainuddin tahu apa-apa atau diberitahu sesuatu oleh Tun Mahathir mengenainya.

Yang kita tahu, di sebalik Tun Mahathir selalu mengatakan beliau akan menunaikan janji peralihan kuasa itu kepada Anwar, kerap pula terpacul daripada mulutnya, “mungkin saya jadi Perdana Menteri kurang dua tahun dan mungkin juga lebih dua tahun.”

Lantaran itu, teka-teki dan spekulasi terus bertebaran tentang peralihan kuasa yang sepatutnya dilakukan dalam tempoh dua tahun itu.

Dalam waktu yang sama, Tun Mahathir seperti cuba mengukuhkan lagi kedudukannya melalui tindakan beberapa pemimpin UMNO menyertai Bersatu dan sekumpulan Ahli Parlimen BN membuat akuan bersumpah menyokong kepimpinannya.

Semua ini dilihat oleh banyak pihak sebagai percubaannya tidak mahu menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam tempoh dua tahun sebagaimana yang dijanjikan, meskipun luahan kata-katanya seperti akur dengan persetujuan peralihan kuasa itu.

Logiknya ialah jika dengan Bersatu ada 13 kerusi Parlimen pun beliau boleh dipersetujui sebagai Perdana Menteri, apa perlunya lagi menambah kekuatan dengan membawa Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu?

Jadi, apa sebenarnya yang ada dalam perkiraan dan pemikiran Tun Mahathir?

Apa pun, jika Tun Mahathir benar-benar ikhlas dan berpegang kepada janji peralihan kuasa itu dan tiada sifat “telunjuk lurus kelingking berkait”, sekurang-kurangnya dua perkara ini perlu dilakukannya bagi meredakan keadaan.

Tidak dinafikan isu ini sekarang bukan saja sudah meretakkan hubungan antara PKR dengan Bersatu, malah telah wujud sama puak-puak tertentu yang menyokong Tun Mahathir dan condong kepada Anwar dalam Pakatan Harapan sendiri.

Untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk dan membahayakan masa depan Pakatan Harapan sendiri, dua perkara yang harus dilakukan oleh Tun Mahathir itu ialah:-

Pertama, beliau perlu segera mengeluarkan kenyataan yang menegaskan keakurannya tanpa berbelah bagi kepada peralihan kuasa yang sudah dipersetujui dengan Anwar itu.

Kenyataan kali ini mesti dilihat muktamad dan tiada lagi perkataan “mungkin” seperti yang selalu disebutnya sebelum ini.

Kedua, Tun Mahathir harus memberi suatu jawatan penting dalam kerajaan kepada Anwar yang memberi gambaran Presiden PKR itu adalah bakal penggantinya sebagai Perdana Menteri dalam tempoh setahun setengah daripada sekarang.

Dalam keadaan sekarang, Tun Mahathir dan Anwar tidak boleh dilihat terpisah, sebaliknya mesti selalu akrab dan bersama.

Keadaan mereka yang terpisah hanya menyebabkan “hantu raya” ada peluang menusuk jarum menghasut dan memberi pelbagai gambaran yang tidak baik tentang hubungan kedua-duanya.

Agak-agak, sediakah Tun Mahathir melakukan dua perkara itu? (ShahbudinHusin 25/12/2018)