BAKAL PM MELANGKAUI ANWAR, LALUAN AZMIN TIDAK SEMUDAH DISANGKA



Entah bagaimana, mungkin secara kebetulan atau memang dirancang, bersekali dengan khabar angin mengenai konon rapuhnya kedudukan Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri ke-8, nama Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut dicanangkan sebagai pengganti pilihan.

Dikhabarkan Tun Mahathir Mohamad sendiri lebih senang dengan Azmin dan memang mahu Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menggantikan tempatnya.

Dalam erti yang lain, walaupun sudah ada perjanjian dan dipersetujui dalam Pakatan Harapan bahawa Anwar adalah penggantinya, seolah-olah Tun Mahathir ketika ini tidak lagi ada perasaan terhadap Presiden PKR itu dan tidak mahu menunaikan janji peralihan kuasa yang telah dipersetujui sebelum ini.

Beberapa pemimpin Bersatu dan pemain media sosial yang akrab dengan parti itu juga nampaknya tidak malu-malu menyebut Azmin adalah bakal Perdana Menteri ke-8 dan terang-terang telah mengenepikan Anwar.

Tidak dipastikan siapakah yang memula dan merangsang sebutan nama Azmin sebagai Perdana Menteri ke-8 itu,mtetapi yang nyata ia terus berlaku sehingga kini.

Keadaan itu, ditambah dengan tiada penafian khusus lagi tegas daripada Tun Mahathir sendiri, maka sebutan nama Azmin itu terus diperkatakan di merata-rata, malah makin diperbesar dari hari ke hari.

Keadaan ini jugalah yang kini dilihat meretakkan hubungan antara Tun Mahathir dan Anwar sejak akhir-akhir ini, meskipun sebelum pilihanraya lalu, Tun Mahathir terlihat begitu mengharapkan sokongan bekas timbalannya itu sanggup merendahkan dirinya menemui Anwar di mahkamah beberapa kali serta menghantar Tun Daim Zainuddin yang  terpaksa menghidupkan lesen guamannya, bagi membolehkan pergi ke penjara untuk melakukan rundingan seterusnya.

Mengapakah setelah berjaya memperolehi kuasa, semuanya nampak berbeza? 

Benarkah juga Azmin jadi pilihan Tun Mahathir dan bukan lagi Anwar?

Dalam hal ini, sesuatu yang harus diingat ialah proses memilih Perdana Menteri atau penggantinya adalah berbeza antara BN dengan Pakatan Harapan. 

Di dalam BN, sesiapa saja yang jadi Presiden UMNO, dia adalah Perdana Menteri dan sesiapa juga yang menduduki Timbalan Presiden UMNO, dia jugalah Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun banyak yang kecundang, tetapi daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri jugalah seseorang itu akhirnya akan menjadi Perdana Menteri.

Dalam konteks itu, Perdana Menteri boleh menggunakan kuasanya terhadap sesiapa yang disukainya untuk dijadikan Timbalan Perdana Menteri atau bakal penggantinya dengan cara memberi kedudukan yang baik-baik dalam kerajaan dan menunjukkan keakraban atau sokongan supaya orang berkenaan menang dalam pertandingan dan boleh menjadi Timbalan Presiden UMNO.

Dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO antara Musa Hitam dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan antara Tun Ghafar Baba dengan Musa Hitam, perkara itu jelas telah berlaku di mana Tun Mahathir yang menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu telah berjaya membuatkan calon kesukaannya menang dalam kedua-dua pertandingan tersebut.

Musa Hitam dua kali berjaya mengalahkan Tengku Razaleigh kerana sokongan terbuka yang ditunjukkan oleh Tun Mahathir, begitu juga Tun Ghafar berjaya menewaskan Musa Hitam berikutan kenyataan Tun Mahathir yang menyebut kedudukan Tun Ghafar sebagai Timbalan Perdana Menteri akan terus kekal, meskipun kiranya tidak berjaya mengalahkan Musa Hitam.

Kemudian, ketika Anwar mahu mencabar Ghafar Baba pada 1993, disebabkan Tun Mahathir memberikan Anwar jawatan sebagai Menteri Kewangan serta dalam masa yang sama menampakkan kecondongannya lebih menyayangi Anwar sebagai bakal penggantinya, maka dengan mudah Tun Ghafar pula dapat diketepikan.

Begitulah realitinya dalam UMNO. Tetapi keadaannya berbeza dengan Pakatan Harapan. Pemilihan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pengganti Perdana Menteri mesti dirundingkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dianggotai para pemimpin kanan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Berdasarkan keputusan sebelum PRU14, keputusan yang dipersetujui ialah Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Anwar adalah bakal Perdana Menteri ke-8 setelah dua tahun Tun Mahathir menduduki kerusi Perdana Menteri ke-7.

Sehingga ini, kedudukan ini adalah kekal dan tidak berubah. Bermakna, Anwar masih merupakan calon yang dipersetujui untuk menggantikan Tun Mahathir.

Dalam hal ini, katalah jika Tun Mahathir benar-benar berhasrat mahu menjadikan Azmin sebagai penggantinya dan menolak Anwar, beliau mesti membawa perkara itu dalam Majlis Presiden untuk dipersetujui terlebih dahulu.

Tun Mahathir tidak boleh sesuka hati meletakkan nama Azmin sebagaimana ketika beliau ada banyak kebebasan sewaktu menjadi Presiden UMNO dan Pengerusi BN dahulu.

Dalam Majlis Presiden pula, selain ada Tun Mahathir, Anwar dan Dr. Wan Azizah, ia juga dianggotai oleh Lim Kit Siang, Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan lain-lain, termasuk Azmin sendiri sebagai Timbalan Presiden PKR.

Dengan kapasiti keanggotaan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang sedemikian itu, mampukah Azmin mendapat sokongan dan kepercayaan majoriti untuk melangkaui Anwar bagi merampas takhta sebagai Perdana Menteri ke-8? (ShahbudinHusin 23/12/2018).

No comments: