Kembalikan kestabilan dalam kerajaan PH – Pelabur asing
Perang mulut beberapa pemimpin dalam gabungan pemerintah, Pakatan Harapan (PH) sedikitnya mengecewakan pelabur asing yang semakin banyak menanam modal sejak tiga bulan kebelakangan ini.
Menurut mereka, situasi seharusnya terkendali dan tidak berlaku tuduh-menuduh antara para menteri sewaktu suasana ekonomi Malaysia masih suram sebaik keluar daripada belenggu kleptokrasi pentadbiran Najib.
Salah seorang pelabur asing, Jameson Tan berkata, insiden politik amat tidak baik untuk imej Malaysia yang terkenal kerana kestabilan politik dan mampu menarik pelaburan dari seluruh dunia.
“Sejak awal bulan ini terdapat terlalu banyak ‘insiden’ politik. Senario politik di Malaysia dilihat tidak berapa stabil sementara kos sara hidup terus meningkat.
“Ini saya dapat rumuskan dari akhir bulan lalu hingga hari ini,” kata Jameson Tan yang mempunyai kilang di kawasan perindustrian Sungai Buloh, Selangor.
Beliau agak kecewa terhadap beberapa puak dalam Kerajaan PH yang nampaknya cuba mengeruhkan situasi. Contohnya, sayap pemuda Bersatu (Armada) dan pemuda Amanah Terengganu yang menggesa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Menteri Perpaduan P. Waytha Moorthy berikutan insiden kekecohan di Kuil Seafield, Sri Mariamman, USJ17, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Bagi Jameson, semua peristiwa dan kenyataan-kenyataan tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan PH belum lagi memberi tumpuan 100 peratus kepada hal tadbir urus negara.
“Saya harap Kerajaan PH akan mengambil ikhtibar untuk memberi fokus kepada hal-ehwal ekonomi kerana harga barangan asas telah meningkat selain daripada keadaan ekonomi yang masih agak lembab.
“Tahun depan ekonomi diramalkan akan lebih mencabar akibat situasi ekonomi sedunia yang tidak memberangsangkan.
“Oleh itu, ramai orang yang saya bersembang menyatakan perasaan marah mereka dengan kedua-dua pihak BN dan PH yang berlagak seolah-olah pilihan raya umum akan tiba tidak lama lagi. Terlalu banyak ‘politiking’ sehingga isu yang melibatkan hidup rakyat nampaknya telah dilupakan.
“Semua pemimpin dari PH dan BN harus menghentikan percaturan politik dengan serta-merta demi masa depan negara kerana kalau tidak masa depan Malaysia akan tidak tentu arah,” sambung Jameson.