Lebih banyak barangan akan dikecualikan SST


Rakyat diminta tidak keliru dengan propaganda yang dimainkan pihak tertentu apabila mendakwa kerajaan akan mengutip 16 peratus daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkata dua kategori iaitu jualan dan perkhidmatan adalah berbeza dan tidak bercampur.
“Ada banyak yang keliru mengenai SST, di mana cukai jualan adalah 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus.
“Sebenarnya kedua-dua cukai itu mempunyai perbezaannya. Cukai Jualan hanya akan dikenakan ke atas produk yang dibuat di kilang sementara Cukai Perkhidmatan hanya dikenakan untuk perkhidmatan.
“Jadi, kita tidak boleh mencampurkannya menjadi 16 peratus,” katanya kepada  media di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Bangi itu turut menjelaskan wujudnya perbezaan ketara antara cukai SST dan cukai GST enam peratus yang pernah dilaksanakan kerajaan terdahulu.
Melalui cukai GST ujarnya, kerajaan menjana pendapatan sekitar RM42 bilion setahun manakala melalui pelaksanaan cukai SST, kerajaan hanya dijangka mengutip sebanyak RM21 bilion.
“Saya fikir ini akan memberi manfaat kepada rakyat kerana (perbezaan) dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
Tambah Kian Ming, kesan keseluruhan pelaksanaan cukai SST bakal menjadikan kos sara hidup lebih rendah kerana terdapat banyak barangan yang sebelum ini dikenakan cukai di bawah sistem GST akan dikecualikan di bawah SST.


No comments: