Wanita PKR menyambut baik hasrat Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan akan datang, namun mengingatkan agar parti bersedia "menjulang prinsip demokrasi" sekiranya jawatan tertinggi parti itu dicabar.
Jelas ketuanya, Zuraida Kamaruddin, PKR perlu menjuarai isu demokrasi yang diperjuangkan selama 20 tahun dan ia perlu bermula dari kalangan pemimpin parti itu sendiri.
"Peranan beliau (Anwar) dan Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku pencetus agenda perubahan hampir 20 tahun lalu tentulah tidak dapat disangkal mana-mana pihak.
"Pasca pilihan raya umum ke-14 menyaksikan PKR telah pun menjadi parti terbesar dalam kerajaan, ia juga membawa bersama perubahan dalam struktur kepimpinan parti serta dinamika yang berbeza dari sebelumnya.
"Dalam pada tawaran Anwar diterima dengan terbuka, parti juga harus bersiap-siaga menjulang prinsip demokrasi dalam menghirup udara segara Malaysia baru yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam menyatakan hal itu, Zuraida turut menyorot "kecemerlangan" pentadbiran Selangor dan kepimpinan bekas menteri besarnya, Azmin Ali.
Kata Zuraida, PKR mempunyai ramai pemimpin berkelayakan yang teruji kesetiaannya, berkarisma dan mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran.
"Tidak boleh disangkal lagi bahawa tatakelola dan kecemerlangan kerajaan Selangor menjadi antara penyumbang signifikan kepada keyakinan rakyat dalam melihat model pemerintahan Malaysia baru.
"Keyakinan inilah yang menyebabkan BN yang berusi 61 tahun mampu ditumbangkan.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara watak pimpinan yang dinamik dan dilihat mampu menggalas tanggungjawab kepimpinan.
"Telah dibuktikan dalam pentabdiran kerajaan Selangor terdahulu, peranan terkini beliau yang memegang portfolio kanan kerajaan selaku menteri hal ehwal ekonomi membuktikan lagi sumbangan beliau bakal memberi impak positif dalam bersama-sama mengemudi bahtera PKR yang kita cintai," katanya lagi.
Zuraida yang merupakan Ahli Parlimen Ampang turut mengingatkan bahawa PKR "berbeza" dengan Umno yang sering menyaksikan jawatan tertinggi parti mereka tidak ditandingi.
"Justeru, Wanita PKR menegaskan bahawa di samping menerima baik tawaran Anwar bertanding jawatan presiden, parti juga perlu menghormati perlembagaan parti dalam hal membuka ruang pertandingan mana-mana jawatan tanpa sebarang usaha sekatan.
“We must walk the talk, kita perlu lakukan apa yang kita laungkan," katanya.
Berdasarkan kenyataan Zuraida ini, adakah ia merupakan bayangan atau petanda terbaru bahawa Azmin akan mencabar Anwar bagi jawatan Presiden PKR?
Kenapa jadi begitu?
Adakah Azmin akan mencabar Anwar berikutan khabar-khabar yang berlegar mengatakan Anwar sedang menyiapkan seseorang yang lain untuk melawan Azmin bagi jawatan timbalan presiden?
Jika kedudukan Azmin sebagai timbalan presiden tidak dilawan, untuk apa beliau mencabar Anwar?
Apakah Anwar dan Azmin sebenarnya sedang bersaing merebut jawatan Perdana Menteri selepas Tun Mahathir? (ShahbudinHusin 18/07/2018)