Amanah yakin beri cabaran sengit PRN Sarawak
Parti Amanah Negara (Amanah) yang mengumumkan akan bertanding 13 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada 7 Mei ini yakin mampu memberi cabaran sengit kepada BN berdasarkan mood pengundi terhadap isu-isu semasa.
Menurut Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, kejayaan Amanah amat bergantung rapat kepada cara kempen dan kekuatan semangat rakyat Sarawak menolak kepimpinan PM Najib.
“Sama ada Amanah akan berjaya atau tidak akan bergantung kepada sejauh mana ahli-ahli parti itu dapat menyakinkan pengundi bahawa kalau mereka tidak gembira dengan pimpinan BN di peringkat kebangsaan, mereka harus menunjukkan kemarahan mereka di peti undi bulan depan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Khalid berpendapat Amanah, PKR dan DAP harus bijaksana menyusun strategi menterjemahkan isu-isu panas, misalnya Cukai Barangan dan Perkhidmatan menjadi punca penolakan rakyat terhadap kerajaan BN Sarawak.
Manakala ahli parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli pula berkata, selain GST tumpuan juga harus diberi kepada isu royalti minyak 5%, autonomi negeri dan Tanah Orang Asal (NCR – Native Customary Rights).
“Namun untuk pihak pembangkang, cabaran yang paling sengit adalah dari segi logistik kerana kita perlu menyalurkan maklumat ke banyak kawasan terpencil yang jauh di pedalaman.
“Untuk memasuki kawasan pedalaman kita menaiki bot selama beberapa hari dan 12 hari berkempen adalah masa yang suntuk memandangkan bahawa Sarawak mempunyai keluasan yang lebih besar dari seluruh Semenanjung,” ujar Dr Hatta.
Kedua-duanya, Khalid dan Dr Hatta bersetuju bahawa Amanah dan PKR perlu berusaha lebih keras berbanding DAP kerana kedua-dua parti itu tidak bertanding di kawasan bandar.
“PRN Sarawak boleh dikatakan seperti ‘Amazing Race Borneo’. Kita perlu menamatkan perjalanan dan tiba di destinasi yang ditetapkan dalam masa yang suntuk.
“Tetapi saya memang mempunyai harapan yang besar bahawa kita akan mencapai keputusan yang lebih baik berbanding dengan PRN Sarawak 5 tahun lalu di mana PAS bertanding 5 buah kerusi,” akhiri Khalid.
PRN Sarawak dimulakan dengan penamaan calon pada 25 April manakala hari mengundi ialah 7 Mei. PRN kali ini menyaksikan penambahan 11 buah kerusi baru yang dispekulasikan sebagai kawasan selamat BN.