PETALING JAYA, 12 SEPT : Pakatan Rakyat (PR) mengesahkan pilihan raya bagi Dewan Negeri Selangor akan dijalankan secara berasingan daripada pilihanraya parlimen kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal membersihkan daftar pemilih.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun Kerajaan Selangor telah menyediakan dana “Selangorku Bersih” untuk membersihkan daftar pemilih, SPR masih gagal bertindak terhadap pengundi yang statusnya diragui.
“Saya bersetuju dengan pandangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Bahawa Selangor tidak akan menyertai pilihanraya DUN bersama Persekutuan kerana SPR gagal bertindak untuk menyelesaikan penipuan yang berlaku di negeri itu.
“Justeru, saya menyokong pendirian mereka (Kerajaan Negeri) untuk tidak meneruskan Pilihan raya dalam jangka masa pendek,” katanya di sidang media selepas mesyuarat presiden Pakatan
ibu pejabat PKR, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor telah mengumumkan akan membuat pilihanraya hanya selepas daftar pemilih dibersihkan dan peruntukan belanjawan 2012 telah digunakan.
Tambah Anwar, Kerajaan Pulau Pinang juga sedang membuat pertimbangan sama ada untuk mengadakan pilihan raya DUN secara berasingan atau pada yang sama dengan pilihanraya pusat.
Di Kelantan, Mustafa berkata, Menteri Besar telah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang.
“Di Kedah, kita belum bincang dengan Menteri Besar. Kita akan berhubung. Pilihan raya juga kita tidak tahu bila, tetapi saya yakin kita tiada masalah untuk buat sebarang keputusan,” ujarnya.